5 Ramalan Trend Blogging Pada Tahun 2014 | Bina Blog Dot Com Sendiri

5 Ramalan Trend Blogging Pada Tahun 2014

5-ramalan-trend-blogging-pada-tahun-2014

2013 baru sahaja meninggalkan kita. Kini, kita berada di tahun baru, tahun yang lebih mencabar buat kita semua sebagai seorang ahli pemasaran dan penulis blog.

Tahun 2013 telah menyaksikan kepada kita beberapa perkara penting dalam dunia content marketing, SEO, pemasaran dan lain-lain. Dan, sudah pastinya pada tahun 2014 ini, lebih banyak perkara baru akan diperkenalkan dan kita harus bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan.

Dalam artikel ini, saya ingin berkongsi sudut pandang peribadi saya terhadap trend dalam dunia blogging pada tahun 2014 ini. Ianya ramalan saya secara peribadi berdasarkan apa yang telah kita lalui pada tahun 2013 dan sebelumnya.

Trend Dalam Dunia Blogging Pada Tahun 2014

#1 – Kandungan Yang Lebih Panjang & Padat

Google melalui kemaskini-kemaskini algorithm terbaru mereka banyak menekankan kepada kualiti kandungan yang diterbitkan. Kandungan yang panjangnya sekitar 100 – 200 patah perkataan sudah tidak begitu ‘kuat’ untuk bersaing dengan kandungan yang panjangnya saya jangkakan akan melangkaui 1000 patah perkataan tidak lama lagi.

Semakin terperinci dan panjang sesebuah artikel, semakin tinggi ‘nilai’ yang terkandung di dalamnya. Maka, proses mendaki kedudukan tertinggi di Google melalui usaha SEO semakin mudah apabila kita berkongsi artikel-artikel yang lebih panjang dan komprehensif. Pembaca juga lebih suka dengan limpahan informasi seperti ini.

#2 – Autoriti Penulis Semakin Ditekankan

Selain itu, penulis yang mempunyai autoriti yang tinggi dan berpengaruh juga dijangka akan memberi impak yang lebih besar kepada SEO sesebuah blog. Semakin banyak artikel ditulis oleh seseorang penulis (tidak kira di blognya sendiri atau sebagai penulis jemputan), semakin tinggi ‘merit’ yang dikumpul oleh si penulis ini.

Maka, saya menjangkakan pada tahun 2014 ini, kita akan lihat trend guest blogging semakin popular dalam kalangan pemilik blog bagi memberi peluang kepada penulis-penulis lain untuk meningkatkan autoriti mereka sekaligus memberikan kelebihan kepada kedua-dua pihak (cross promotion).

#3 – Lebih Banyak Social Signal

Dalam konteks media sosial pula, tahun 2014 akan lebih meriah dengan perkongsian-perkongsian yang lebih rancak dan menarik dalam kalangan pengguna media sosial.

Kita sudahpun boleh melihat trend ini bermula pada tahun ini di mana video-video dan artikel-artikel ilmiah, lucu dan kontroversi menjadi begitu ‘viral’ di media sosial seperti Facebook & Twitter. Sebagai penulis blog, kita harus bijak mengambil peluang ini. Gunakan media sosial ini sebaik mungkin untuk berkongsi sesuatu yang menarik kepada rakan-rakan kita.

#4 – Teknik Bina Backlink Baru

Di samping itu, kita juga mungkin akan lihat teknik-teknik membina backlink lama akan ditinggalkan pada tahun baru ini. Jika satu masa dulu, kuantiti backlink menjadi perkara pokok, hari ini sudah tidak lagi.

Apa yang jauh lebih penting adalah, kualiti backlink itu sendiri. Ini bagi mempersiapkan kita dengan pelbagai kemaskini algorithm yang akan dilepaskan oleh Google pada tahun ini yang sudah pastinya akan menghukum mereka yang gemar dan terlalu obses melakukan aktiviti membina backlink secara melulu.

#5 – Kandungan Video Semakin Banyak

Dan yang terakhir adalah, kandungan berbentuk video akan diterbitkan dengan lebih banyak dan meluas. Pemilik jenama dan penulis blog hari ini sudah semakin jelas akan kepentingan video dalam proses mewujudkan ‘engagement’ yang lebih baik dengan prospek dan pembaca.

Pengguna juga sudah semakin suka dengan kandungan berbentuk video. Sesetengah daripada kita lebih suka menonton video di YouTube dan Facebook berbanding menonton TV di rumah.

Prinsip ‘mobility’ terpakai di sini di mana kita lebih mudah untuk memilih ‘apa yang kita mahu tonton’ berbanding ‘menonton apa yang telah disediakan’ untuk kita pada bila-bila masa tidak kira di mana kita berada. Anda setuju?

(Ekstra) #6 – Liputan Infografik Yang Lebih Luas

Bukan itu sahaja, saya juga fikir pada tahun 2014 ini, kita akan lihat lebih banyak kandungan berbentuk infografik dipersembahkan kepada pembaca dengan skop dan lapangan yang lebih luas. Ianya mungkin akan menyentuh aspek keluarga, kesihatan dan lain-lain tema lagi di luar skop teknologi dan pemasaran seperti hari ini.

(Ekstra) #7 – Mobile First

Tak lengkap rasanya jika saya sebagai seorang web designer tidak menyentuh aspek ini. Saya juga menjangkakan pada tahun ini, lebih ramai pemilik blog akan menggunakan tema blog yang lebih mesra peranti mudah alih (mobile friendly).

Sama ada membina laman mobile khas seperti ‘m.domain.com‘ atau menggunakan ‘responsive theme‘, ianya harus dilakukan dengan berhati-hati. Kesilapan kecil dalam proses pembangunan tema boleh ‘mencederakan’ SEO blog anda.

***

Kesimpulannya, tahun 2014 akan lebih menarik dengan trend yang dijangkakan seperti di atas. Sebagai seorang penulis blog, persiapkan diri dan sentiasa belajar perkara-perkara baru tentang blogging setiap masa agar kita tidak ketinggalan.

Apa Ramalan Anda?

Apa pula ramalan anda terhadap dunia blogging pada tahun 2014 ini? Kongsikan pendapat anda dalam ruangan komen di bawah dengan rakan-rakan yang lain.

Selamat Tahun Baru 2014!

Kredit foto: Danny Xeero.

The following two tabs change content below.

Zulhilmi Zainudin

Pereka grafik & pembangun laman web at Zulh Freelancer(tm)
Mempunyai kepakaran di dalam bidang rekaan grafik dan pembangunan laman web berasaskan sistem WordPress. Pengasas projek Bina Blog Dot Com Sendiri.

Label: , ,