5 Sebab Kenapa Blog Anda Tidak Disukai Orang | Bina Blog Dot Com Sendiri

5 Sebab Kenapa Blog Anda Tidak Disukai Orang

5-sebab-kenapa-blog-anda-tidak-disukai-orang
Selain daripada kandungan yang bermanfaat, menarik dan relevan, terdapat beberapa perkara lain yang menjadi faktor penyumbang kepada tahap kejayaan sesebuah blog.

Antara signal-signal penting dalam mengukur kejayaan blog adalah apabila pembaca kita mula berasa selesa dan suka apabila mereka datang membaca setiap artikel kita dan berasa senang untuk bercerita tentang blog kita kepada orang lain.

Adalah satu nikmat jika kita mempunyai jemaah pembaca seperti ini. Secara tidak langsung, mereka juga bertindak sebagai agen pemasaran blog kita dan kita mampu menjimatkan kos pemasaran sedia ada untuk tujuan yang lain.

Namun begitu, untuk mencapai suatu tahap di mana pembaca berasa suka dengan blog kita, kita sebagai pemilik blog harus mengambil langkah yang bijak untuk mengambil dan menawan hati mereka. Wujudkan sensasi bahagia dalam diri pembaca dan nyahkan sifat benci pembaca terhadap blog kita.

Antara sebab blog kita tidak disukai pembaca adalah:

#1 – Tiada Butang Perkongsian Sosial

Era Web 2.0 kini telah menyaksikan kepada kita bahawa semua perkara mempunyai momentum dan potensi untuk tersebar luas dengan pantas. Hal ini kerana dengan wujudnya elemen-elemen sosial pada blog dan laman web yang membantu pembaca untuk berkongsi kandungan yang mereka suka dengan rakan-rakan mereka dengan mudah.

Dari perspektif pembaca dan pengguna, social media buttons seperti ini adalah satu anugerah yang mereka amat hargai. Mereka tidak perlu lagi bersusah payah untuk salin dan tampal pautan blog kita ke Facebook, Twitter & Google+ mereka lagi. Hanya dengan satu klik, mereka boleh berkongsi dengan mudah dan pantas.

Adakah anda juga rasa ianya membantu dan membahagiakan anda?

#2 – Tiada Kotak Carian

Biarpun hal ini pernah menjadi topik panas yang sering diperdebatkan oleh pakar bidang, kepentingannya memang tidak dapat dinafikan. Walaupun ruangnya pada struktur blog kita tidak sebesar mana, tetapi fungsi yang dibawanya cukup membantu para pembaca.

Bayangkan di blog kita mempunyai artikel-artikel yang mempunyai informasi dan tutorial yang sangat baik dan pembaca sukar untuk mencarinya. Sudah pasti pembaca yang kurang sabar akan terus meninggalkan blog dan tidak akan datang kembali.

Oleh yang demikian, jika blog anda tidak mempunyai search form ini, adakan secepat mungkin. Demi membahagiakan dan meraikan para pembaca anda.

#3 – Terlalu Banyak Iklan

Iklan merupakan salah satu daripada sumber pendapatan blog bagi kebanyakan penulis dan pemilik blog. Dengan adanya iklan, sedikit sebanyak ianya boleh menampung kos operasi blog itu sendiri selain memberi pulangan kepada si penulis dan pemilik blog.

Namun begitu, terlalu banyak iklan boleh mengganggu konsentrasi pembaca dan boleh menyebabkan mereka rasa tidak selesa. Lantas, mungkin ianya boleh menjadi sebab blog anda tidak dikunjungi lagi kelak.

Oleh itu, hadkan bilangan iklan pada blog dan letak iklan pada tempat yang betul. Lakukan beberapa ‘split-test‘ atau survey bertanyakan pendapat para pembaca anda tentang lokasi iklan yang ada di blog anda.

#4 – Desain Yang Tidak Kemas

Desain yang cantik adalah bonus. Desain yang kemas adalah satu kemestian. Pastikan tema blog anda tidak serabut dengan elemen-elemen yang tidak diperlukan. Pilih dan terus pilih tema terbaik.

Jika anda mempunyai bajet yang lebih, anda juga boleh mengambil perkhidmatan para pembangun dan pereka laman web untuk membina tema blog yang unik khas untuk anda. Secara tidak langsung, elemen dan maksud disebalik jenama anda boleh diterapkan melalui tema yang unik tersebut.

Pastikan sekali lagi tema itu kemas dan memudahkan pembaca untuk melihat dan mengikuti setiap kandungan di blog anda. Tiada yang lebih mereka harapkan melainkan rasa tenang dan selesa apabila membaca blog anda.

#5 – Lambat & Tersekat-sekat

Masalah blog ‘slow loading‘ kebiasannya berpunca daripada saiz gambar yang terlalu besar dan fail-fail berkaitan yang tidak diuruskan dengan baik. Hal ini secara tidak langsung menyebabkan pelayan (server) bekerja keras untuk menyediakan kandungan bersaiz mega itu ke pelayar internet pembaca.

Sebagai penulis dan pemilik blog, anda perlu tahu teknik-teknik untuk melajukan blog agar pembaca anda sudah tidak lagi tertunggu-tunggu kandungan yang mereka mahukan. Lebih cepat kandungan dapat disediakan, lebih gembira para pembaca. Sama seperti kita pesan roti canai di kedai mamak.

***

Kesimpulannya, anda harus benar-benar faham apa yang pembaca anda mahukan. Dalami diri mereka dan cuba sediakan yang sebaiknya kepada mereka. Lambat atau cepat, mereka pasti menjadi peminat setia blog anda. Apa pendapat anda?

Kredit foto: Maria Reyes-McDavis.

The following two tabs change content below.

Zulhilmi Zainudin

Pereka grafik & pembangun laman web at Zulh Freelancer(tm)
Mempunyai kepakaran di dalam bidang rekaan grafik dan pembangunan laman web berasaskan sistem WordPress. Pengasas projek Bina Blog Dot Com Sendiri.

Label: , ,