5 Senarai Semak Sebelum Anda Menggunakan WordPress Plugin | Bina Blog Dot Com Sendiri

5 Senarai Semak Sebelum Anda Menggunakan WordPress Plugin

5-senarai-semak-sebelum-anda-menggunakan-wordpress-plugin

Nota editor: Artikel ini disumbangkan oleh saudara Mohd Hadihaizil atau dikenali sebagai Eizil. Beliau merupakan seorang pengaturcara laman web, beliau mula berkecimpung dalam bidang ini sejak tahun 2004, gemar dalam perkara berkaitan isu keselamatan dan pembangunan WordPress.

***

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Apabila menggunakan blog WordPress yang diuruskan sendiri, perkara yang seringkali menjadi perbincangan adalah apakah plugin yang sesuai untuk digunakan.

Ada terlalu banyak plugin untuk pelbagai kegunaan yang berada di pasaran dan setiap plugin ini, jika tersilap pemilihan boleh mengakibatkan perkara yang buruk kepada diri kita dan para pembaca kita.

Terdapat plugin-plugin yang ditambah dengan kod-kod jahat yang menyebabkan laman kita dijangkiti malware dan anasir-anasir yang kita tidak ingini.

#1 – WordPress Plugin Repo

Langkah pertama apabila kita membuat carian plugin yang ingin digunakan, sila gunakan fungsi add new plugin yang terdapat di dalam dashboard WordPress untuk membuat carian.

Atau, anda boleh terus ke WordPress Plugins untuk membuat carian secara umum di sana. Kelebihan carian di sini adalah, semua plugin yang akan dilepaskan di sini, akan melalui proses penapisan untuk mengelakkan kod-kod tidak baik daripada dilepaskan.

#2 – Tarikh Terakhir Plugin Dikemaskini

Walaupun demikian, sila pastikan juga plugin yang kita gunakan masih aktif dikemaskini, sila lihat butiran seperti bila kali terakhir plugin itu dikemaskini dan berapa aktif pembangun itu memberi maklum-balas.

Mana-mana plugin yang telah mencapai usia lebih dari 365 hari atau setahun tanpa tiada sebarang kemaskini adalah berisiko terutama plugin yang menggunakan pelbagai fungsi PHP. Sila elakkan daripada menggunakan plugin seperti ini dan cari alternatif yang lebih sesuai.

Sekiranya tiada plugin yang mempunyai fungsi yang kita inginkan, sila dapatkan khidmat nasihat daripada pembangun laman sesawang berdekatan untuk memastikan plugin itu tidak akan mendatangkan risiko blog WordPress kita akan diceroboh.

#3 – Cubaan Awal Prestasi Laman

Sejurus selepas kita mengaktifkan mana-mana plugin, sila buat ujian ringkas mengenai prestasi laman kita. Adakah terdapat sebarang pengurangan atau penambahan tempoh untuk kita memaparkan halaman blog kita.

Selain itu, kita juga perlu memeriksa fungsi-fungsi tersedia masih berjalan dengan baik, tiada masalah untuk menulis artikel dan sebagainya.

Langkah ini penting untuk mengelakkan kita daripada menjadi mangsa plugin yang tidak diaturcara dengan baik.

Walaupun kadangkala kita menginginkan fungsi yang ditawarkan oleh plugin tersebut, namun sekiranya ia mengganggu perjalanan blog kita, lebih baik lupakan niat kita.

#4 – Kenalpasti Siapa Pengaturcara Plugin

Selain halaman WordPress Plugin Repo, lebih banyak plugin yang kita boleh perolehi dari halaman-halaman lain yang menawarkan plugin percuma dan juga plugin berbayar.

Perlu saya tekankan di sini, berbayar tidak semestinya terbaik. Ini berdasarkan pengalaman membeli beberapa plugin premium, namun hampa apabila melihat plugin tersebut tidak berfungsi dengan baik dan mengganggu prestasi blog kita.

Sebelum ingin membeli plugin premium, langkah yang lebih bijak adalah dengan mendapatkan plugin percuma terlebih dahulu.

Kenalpasti siapa yang membangunkan plugin tersebut, sekiranya ia datang dari jenama yang memang sudah dipercayai, risiko yang kita hadapi dapat diminimakan.

Perkara ini adalah sebaliknya sekiranya kita mendapatkan plugin yang ditawarkan dari kumpulan yang mencurigakan dan tidak mempunyai reputasi yang baik.

Elakkan daripada menggunakan plugin dari kumpulan seperti ini sekiranya anda tidak mahir untuk menilai isi kandungan plugin tersebut kerana khuatir, blog anda akan mudah diceroboh.

#5 – Keperluan Minima Plugin

Seterusnya, anda juga perlu memastikan bahawa plugin yang bakal digunakan itu disokong oleh versi WordPress yang sedang anda gunakan.

Perkara ini penting bagi memastikan plugin itu boleh berfungsi dengan baik dan tidak membawa sebarang masalah kepada anda dan pembaca.

Langkah ini wajar anda diperhatikan dengan lebih serius kerana setiap kali versi WordPress terkini dilepaskan, terdapat beberapa fungsi dalaman sistem yang juga turut berubah. Kesan daripada perubahan fungsi asas ini boleh mengakibatkan plugin anda gagal berfungsi.

***

Sekian dulu perkongsian dalam artikel kali ini, semoga kita menjadi pengguna WordPress yang bijak.

Kredit foto: MDMA.


Artikel ini ditulis oleh Mohd Hadihaizil atau dikenali sebagai Eizil. Beliau merupakan seorang pengaturcara laman web, beliau mula berkecimpung dalam bidang ini sejak tahun 2004, gemar dalam perkara berkaitan isu keselamatan dan pembangunan WordPress.

The following two tabs change content below.

Zulhilmi Zainudin

Pereka grafik & pembangun laman web at Zulh Freelancer(tm)
Mempunyai kepakaran di dalam bidang rekaan grafik dan pembangunan laman web berasaskan sistem WordPress. Pengasas projek Bina Blog Dot Com Sendiri.

Label: , , ,