7 Perkara Yang Perlu Anda Lihat Sebelum Menggunakan Sesebuah Tema Premium | Bina Blog Dot Com Sendiri

7 Perkara Yang Perlu Anda Lihat Sebelum Menggunakan Sesebuah Tema Premium

7-perkara-sebelum-guna-tema-premium

Antara sebab utama kenapa WordPress menjadi kegilaan ramai pemilik laman web adalah sokongan tema yang banyak. Tema-tema ini dibangunkan oleh para pembangun dari seluruh dunia.

Ada tema percuma dan ada juga tema berbayar. Bergantung kepada keperluan dan bajet semasa, kita bebas untuk menggunakan mana-mana jenis tema tersebut.

Namun begitu, tidak semua tema di pasaran hari ini bagus & sesuai untuk laman web dan blog kita. Sebagai pemilik laman web & blog, anda perlu lihat beberapa perkara berikut sebelum menggunakan mana-mana tema WordPress.

7 Perkara Penting Sebelum Menggunakan Premium Theme WordPress

#1 – Berapa Kerap Ia Dikemaskini?

Sistem WordPress adalah sistem sumber terbuka & dibangunkan oleh ramai pembangun dari seluruh dunia. Versi WordPress dikemaskini begitu cepat. Ketika artikel ini ditulis, versi WordPress adalah 3.8 dan versi 3.9 akan dilancarkan pada 16 April kelak.

Setiap kali versi WordPress dikemaskini, akan terdapat beberapa perubahan pada struktur asas sistem WordPress itu sendiri. Jadi, sebagai pembangun tema WordPress, adalah menjadi kewajipan mereka untuk mengemaskini juga tema-tema dibawah seliaan mereka.

Elakkan membeli tema WordPress yang tidak dikemaskini lebih daripada 6 bulan atau tidak menyokong versi stabil terkini WordPress. Anda mungkin berdepan dengan pelbagai masalah & ancaman sekuriti selepas anda menggunakan tema tersebut kelak.

#2 – Adakah Tema Itu Cukup ‘Laju’?

Saya ada menulis tentang kesan kelajuan laman web yang perlahan sebelum ini. Kita harus sedar, pembaca hari ini tidak mempunyai masa yang lama untuk menunggu laman web atau blog kita ‘loading‘ di dalam peranti mereka.

Jika kita gagal memberikan mereka apa yang mereka mahu dalam tempoh 7 saat pertama, kita gagal. Jadi, apa yang boleh anda lakukan adalah, semak loading time tema yang anda mahu gunakan itu terlebih dahulu sebelum membelinya.

Anda boleh copy-n-paste URL ‘live demo‘ tema tersebut dan uji di salah satu laman web berikut.

#3 – Adakah Tema Itu ‘Mobile Friendly’?

Trend blogging 2014 adalah ‘mobile first‘. Dunia sekarang segalanya ‘mobile‘. Jadi, amatlah rugi jika blog anda tidak mesra peranti mudah alih.

Oleh itu, pastikan tema yang bakal anda beli itu ‘mobile friendly‘. Dalam kata lain, responsive theme. Anda boleh mengetahui sesebuah tema itu responsive atau tidak dengan mengecilkan lebar saiz pelayar internet anda ketika mencubanya.

Jika anda melihat tema tersebut bertindak balas dan layout-nya berubah secara automatik, ini bermakna tema itu responsive. Sebaliknya, jika tema itu tidak berubah dan anda melihat ‘horizontal scrollbar‘ di bawah pelayar internet anda, tema itu tidak responsive.

Tip: Jika tema tersebut tidak responsive, anda masih boleh menjadikannya ‘mobile friendly‘. Rujuk tutorial ini untuk mengetahuinya lebih lanjut.

#4 – Adakah Tema Itu Boleh Di ‘Customize’?

Adakalanya, kita mungkin mahu mengubah beberapa perkara pada blog kita bukan? Tetapi, kita tidak mahu melakukannya dengan mengubah kod aturcara kerana bimbang tema kita tadi akan rosak.

Betul?

Jadi, lihat sama ada tema yang bakal anda beli itu mempunyai Theme Options atau tidak. Dengan Theme Options, anda boleh mengubah warna font, jenis font, lebar header, lebar sidebar dan sebagainya dengan mudah.

#5 – Adakah Tema Itu ‘Rojak’?

Sesebuah tema WordPress dibangunkan dari komponen-komponen berikut:

  • HTML + PHP
  • CSS
  • JS (Javascript)

Prinsip utama dalam bab ‘site speed optimization‘ adalah, tidak meletakkan semua fail .CSS & .JS dalam satu fail .HTML atau .PHP. Ia akan menjadikan blog kita perlahan apabila diakses.

Untuk melihat sama ada tema itu ‘rojak’ atau tidak, lihat kod sumbernya dengan cara Right Click > View Source. Jika anda lihat begitu banyak tag <script> di dalamnya, tinggalkan sahaja tema ini.

#6 – Adakah Tema Itu Benar-benar ‘Bijak’?

Berkait dengan poin di atas, kita tidak perlukan semua fail .CSS & .JS dalam setiap halaman blog WordPress kita. Seorang pembangun tema WordPress yang baik akan meletakkan fail-fail .CSS & .JS ini dengan menggunakan pendekatan ‘bersyarat’.

Sebagai contoh, jika kita mahu meletakkan Google Maps di dalam halaman Hubungi blog kita, kod-kod sokongan Google Maps ini HANYA diletakkan di halaman Hubungi ini sahaja. Sebaliknya, fail-fail ini tidak akan dipanggil dalam halaman-halaman lain dalam blog kita.

Ini bertujuan untuk mengurangkan loading time blog kita.

Sama seperti di atas, anda boleh melihat kod sumber sesebuah tema itu terlebih dahulu sebelum membelinya. Pastikan pembangun tema itu hanya ‘memanggil’ fail-fail .CSS & .JS tertentu sahaja dalam setiap halaman.

#7 – Adakah Tema Itu Menyokong ‘Shortcode’?

Secara ringkas, shortcode adalah sepotong kod pendek yang telah diringkaskan bagi memudahkan pengguna sesebuah tema. Sebagai contoh, jika kita mahu meletakkan kod programming dalam artikel blog kita, kita boleh menggunakan plugin seperti ini.

Dengan menggunakan plugin ini, ia akan memaparkan kod programming kita itu tadi dalam visual khas. Dalam kata lain, ia tidak dipaparkan sama seperti ayat-ayat lain dalam artikel blog kita.

Fungsi seperti inilah dipanggil sebagai shortcode. Tema WordPress yang lengkap adalah tema yang menyokong pelbagai jenis shortcode seperti: shortcode untuk meletakkan button, shortcode untuk meletakkan alert, shortcode untuk meletakkan bullet point list & bermacam-macam lagi.

(Ekstra) #8 – Adakah Tema Itu Disokong Oleh Pembangunnya?

Sama seperti kita membeli web hosting, kita mahukan support daripada penyedia web hosting kita bukan?

Oleh itu, jika pembangun tema yang anda mahu beli itu ada memberikan sokongan (support) selepas pembelian, anda bernasib baik.

Sebaliknya, jika perkara itu tidak dinyatakan, besar kemungkinan anda tidak akan dilayan jika anda menghadapi sebarang kesulitan apabila menggunakan tema tersebut kelak.

***

Kesimpulan

Kesimpulannya, sebelum membeli mana-mana tema premium WordPress, anda harus melakukan pelbagai ujian terlebih dahulu. Biar proses ini memakan sedikit masa asalkan anda dapat ‘nilai sebenar’ di sebalik pelaburan anda untuk mendapatkan tema itu nanti.

Kredit foto: Serge Kij.

The following two tabs change content below.

Zulhilmi Zainudin

Pereka grafik & pembangun laman web at Zulh Freelancer(tm)
Mempunyai kepakaran di dalam bidang rekaan grafik dan pembangunan laman web berasaskan sistem WordPress. Pengasas projek Bina Blog Dot Com Sendiri.

Label: , ,