7 Tips Sebelum Menjadi Penulis Jemputan (Guest Blogger) | Bina Blog Dot Com Sendiri

7 Tips Sebelum Menjadi Penulis Jemputan (Guest Blogger)

7-tips-sebelum-menjadi-penulis-jemputan-guest-blogger
Menulis di blog orang lain atau lebih dikenali dengan istilah ‘guest blogging‘ merupakan salah satu cara pemasaran blog yang menjadi pilihan ramai penulis terkenal.

Hal ini kerana, cara ini menjimatkan serta boleh membawa hasil yang lama dan berkekalan kerana pulangannya adalah daripada segi trafik dan pembaca yang datang melalui blog yang disumbangkan artikel itu.

Selagi blog tersebut bernyawa, selagi itu ada trafik percuma ke blog kita.

Namun begitu, sebelum bertindak menjadi seorang guest blogger, seseorang penulis perlu mengetahui garis panduan dan tips berkaitan dengannya bagi memastikan artikel yang ditulis kelak benar-benar bermanfaat dan boleh membawa ‘pulangan’ berterusan seperti yang diharapkan.

#1 – Kualiti VS Kuantiti

Menulis dan menyumbang artikel yang banyak di blog orang lain tidak menjamin apa-apa kepada kita kecuali nama, gambar dan biodata ringkas kita sahaja diulangsiar di akhir setiap artikel tersebut sama seperti pada ruang bawah artikel di dalam majalah.

Apa yang pembaca mahukan adalah artikel yang benar-benar berkualiti dan bermanfaat buat mereka. Oleh itu, daripada menulis tentang sesuatu topik yang umum, cuba tulis topik yang lebih spesifik dan berkaitan dengan ‘niche’ blog tersebut.

#2 – Kenali Pembaca & Komuniti

Setiap blog mempunyai golongan pengikutnya yang tersendiri. Setiap daripada komuniti ini mempunyai minat, kecenderungan dan pemahaman yang berbeza-beza tentang sesuatu ‘niche’.

Oleh itu, sebelum menulis di blog tersebut, ambil masa terlebih dahulu untuk melihat corak dan ragam pembaca dengan melihat komen dan interaksi mereka di setiap artikel yang telah ditulis di blog tersebut.

#3 – Guna Bahasa Mudah

Blog dicipta untuk memudahkan lagi proses penyampaian informasi. Bukan seperti buku rujukan dan jurnal di perpustakaan yang perlu mengikut format penerbitan dan garis panduan lama yang menyusahkan pembaca memahaminya.

Tulis dalam bahasa yang pembaca boleh faham dan kurangkan penggunaan terma yang sukar difahami. Perbanyakkan contoh dan situasi berkonsepkan penceritaan bagi memudahkan pembaca menghadam artikel kita.

#4 – Kemas & Tersusun

Membaca sesuatu perkara dalam satu perenggan yang terlalu panjang boleh membuatkan mata kita cepat berasa penat. Oleh itu, tulis dalam beberapa perenggan dan setiap perenggan itu, cukup 3-4 baris ayat sahaja.

Gunakan juga bullet point, numbering, bold, italic dan underline mengikut kesesuaian untuk menekankan sesuatu perkara agar lebih menonjol dan jelas di mata para pembaca.

#5 – Elakkan Kesalahan Kecil

Antara kesalahan kecil dalam penulisan adalah:

  • Kesalahan ejaan.
  • Struktur ayat yang sukar difahami.
  • Penggunaan bahasa rojak, bahasa pasar dan loghat negeri yang terlampau.

Kita harus sedar bahawa tidak semua pembaca blog kita faham apa yang cuba kita sampaikan. Mungkin faham bagi kita, tidak bagi mereka. Oleh itu, tulisan yang ringkas dan jelas harus menjadi pilihan agar mereka boleh memahami apa yang kita cuba kongsikan itu.

#6 – Tanya Pendapat & Soalan

Sebelum akhiri artikel, tanya beberapa soalan dan minta pendapat pembaca tentang topik yang kita tulis itu.

Kenapa?

Kerana, dengan bertanyakan soalan seperti ini, kita boleh menggalakkan pembaca untuk berinteraksi dengan kita sekaligus memulakan perkenalan awal antara kita dan pembaca di blog tersebut.

#7 – Ringkas

Akhir sekali, pastikan artikel yang ditulis itu ringkas sahaja. Artikel yang terlalu panjang dan kompleks tidak menjamin para pembaca untuk membacanya sehingga habis (malas).

Artikel ringkas dan sederhana selalu menjadi pilihan pembaca untuk dibaca sehingga habis sekaligus menimbulkan rasa minat mereka untuk berkongsi pendapat mereka di ruangan komen blog.

***

Kesimpulannya, menulis sebagai seorang guest blogger memerlukan kita untuk tahu perkara-perkara asas seperti ini dahulu bagi memastikan para pembaca blog yang kita sumbangkan artikel itu boleh menerima penulisan kita dan sekaligus menjemput mereka datang membaca blog kita pula.

P/S: Anda belajar sesuatu? Kongsi artikel ini dengan rakan-rakan anda. Klik Like, Tweet atau +1 di bawah artikel untuk berkongsi.

Kredit foto: Tim Hamilton.

The following two tabs change content below.

Zulhilmi Zainudin

Pereka grafik & pembangun laman web at Zulh Freelancer(tm)
Mempunyai kepakaran di dalam bidang rekaan grafik dan pembangunan laman web berasaskan sistem WordPress. Pengasas projek Bina Blog Dot Com Sendiri.

Label: , ,