Apa Itu DDoS & Apa Kesannya Kepada Blog? | Bina Blog Dot Com Sendiri

Apa Itu DDoS & Apa Kesannya Kepada Blog?

apa-itu-ddos

Salah satu cabaran apabila menggunakan perisian sumber terbuka adalah, kita terdedah kepada serangan daripada pihak yang tidak bertanggungjawab.

Setiap perisian mempunyai kelemahannya yang tersendiri biarpun ia sentiasa ditambah baik dari hari ke hari oleh para pembangunnya. Kelemahan ini merangkumi juga kelemahan daripada sudut sekuriti.

Seperti yang kita sedia maklum, sistem WordPress adalah sebuah sistem percuma. WordPress dibangun dan diedarkan menggunakan lesen sumber terbuka. Sesiapa sahaja boleh memuat-turun dan menggunakannya.

Oleh itu, perkara ini memberi peluang kepada golongan yang tidak bertanggungjawab untuk cuba menceroboh sistem-sistem web berasaskan WordPress apabila mereka berjaya mengesan ‘lubang-lubang’ yang boleh dimasuki (back door).

Salah satu serangan yang lazim dikaitkan dengan sistem WordPress adalah serangan DDoS atau nama penuhnya adalah ‘Distributed Denial of Service‘.

Apa Itu DDoS?

Secara ringkas, setiap laman web mempunyai had tertentu untuk menampung jumlah pengguna pada satu-satu masa. Semakin besar sesebuah laman web, semakin besar spesifikasi yang diperlukan untuk menampung penggunanya.

Mengambil kesempatan dengan menyasarkan pemilik blog WordPress yang menggunakan web hosting biasa, penggodam akan melakukan serangan DDoS bagi mematikan sesebuah blog.

Serangan ini diarahkan oleh bot yang dicipta oleh si penggodam dan dihantar kepada pasukan bot-bot lain yang terpasang secara tidak sengaja di dalam komputer pengguna lain (dipanggil sebagai malware).

Apabila pasukan bot-bot ini menerima arahan daripada bot utama, mereka akan menghantar permintaan (request) secara serentak kepada blog yang disasarkan.

Kesannya, blog WordPress tidak mampu menampung begitu banyak permintaan itu akan ‘down’ secara sendiri sehingga serangan DDoS ditamatkan.

Kesan Serangan DDoS Kepada Blog

Antara kesan utama serangan DDoS kepada pemilik blog selain daripada blog ‘down’ adalah:

  1. Merugikan perniagaan (bagi pemilik perniagaan online).
  2. Menjatuhkan reputasi & nama baik jenama.
  3. Merendahkan tahap kepercayaan pengguna terhadap keselamatan blog.

Bagaimana Untuk Mengelakkan Serangan DDoS Pada Blog WordPress?

Salah satu cara untuk menyelamatkan blog kita daripada menjadi sasaran penggodam DDoS ini adalah dengan sentiasa peka dengan sebarang kemaskini yang dikeluarkan oleh pihak pembangun WordPress.

Setiap versi yang dilepaskan adalah versi yang paling stabil dan telah diuji daripada pelbagai sudut seperti keselamatan dan sebagainya.

Apabila blog kita beroperasi menggunakan skrip terkini, kita telah berjaya menutup ‘lubang-lubang’ yang mungkin selama ini kita tidak sedari telah ‘terbuka’ begitu lama atas sebab kelalaian kita menguruskan blog kita sendiri.

Baca: 5 Tips Keselamatan Yang Perlu Anda Ambil Tahu Tentang WordPress

***

Kesimpulannya, serangan DDoS merupakan satu bentuk serangan siber yang menyebabkan sesebuah laman web dan blog menjadi tidak responsif buat beberapa ketika kerana menerima permintaan yang terlalu banyak diluar kapasiti kemampuannya.

Kredit foto: Bob Mical.

The following two tabs change content below.

Zulhilmi Zainudin

Pereka grafik & pembangun laman web at Zulh Freelancer(tm)
Mempunyai kepakaran di dalam bidang rekaan grafik dan pembangunan laman web berasaskan sistem WordPress. Pengasas projek Bina Blog Dot Com Sendiri.

Label: , ,