Apa Itu Google PageRank? | Bina Blog Dot Com Sendiri

Apa Itu Google PageRank?

apa-itu-google-pagerank
Kita sudah mengetahui formula rahsia yang digunakan oleh Google untuk menentukan kedudukan laman web berdasarkan carian yang kita buat di laman mereka. Salah satu daripada formula tersebut adalah PageRank (PR).

Secara ringkasnya PageRank ini diberikan sendiri oleh pihak Google dan mereka menggunakannya sebagai salah satu ‘signal’ penting dalam proses ‘saringan’ selepas laman web berjaya diindeks oleh robot mereka.

Daripada julat 0 hingga 10, laman web yang mempunyai autoriti yang tinggi dan relevan akan mempunyai PR yang lebih tinggi. Sebagai contoh, Facebook mempunyai PR9, YouTube – PR9 dan Twitter – PR10.

Kepentingan PageRank Kepada Laman Web & Blog

Antara kelebihan jika laman web dan blog kita mempunyai PR yang tinggi adalah, Google akan menghantar robot mereka dengan lebih kerap untuk mengindeks kandungan di laman web dan blog kita.

Ini penting dan sangat bermanfaat bagi laman web dan blog seperti portal berita kerana maklumat terkini berita boleh diindeks dengan lebih pantas di Google. Jika laman web seperti ini lambat menerima lawatan robot Google, berita hari ini akan mula ‘masuk’ di Google pada hari esok atau lusa – bukan selepas 1-2 jam artikel berita ditulis dan diterbitkan.

Kelebihan lain mempunyai PR yang tinggi adalah, Google akan memberi penekanan kepada laman web dan blog kita jika seseorang pengguna membuat carian. Laman web dan blog kita berpotensi berada di kedudukan lebih tinggi jika kita mempunyai PR yang baik berbanding laman web dan blog yang tidak mempunyai PR.

Bagaimana Untuk Menyemak PageRank Laman Web & Blog?

Mungkin anda tertanya-tanya bagaimana caranya untuk menyemak dan melihat PR laman web dan blog anda bukan?

Baik. Antara laman web yang boleh anda gunakan untuk melihat PR laman web dan blog anda adalah PR Checker. Masukkan URL laman web atau blog anda di kotak yang disediakan dan tekan butang ‘Check PR‘.

Jika mereka perlukan pengesahan seperti captcha (nombor dan tulisan secara rawak), taip sahaja semula apa yang anda nampak. Keputusan PageRank bagi laman web dan blog anda akan dipaparkan sejurus selepas anda masukkan captcha tersebut.

***

Kesimpulannya, PageRank merupakan salah satu daripada formula yang digunakan oleh Google sahaja. Jika laman web atau blog anda tidak mempunyai PR, anda tidak perlu risau. Masih terdapat 199 lagi formula lain yang boleh anda gunakan untuk mendominasi Google!

P/S: Anda belajar sesuatu? Kongsi artikel ini dengan rakan-rakan anda. Klik Like, Tweet atau +1 di bawah artikel untuk berkongsi.

Kredit foto: Google Products.

The following two tabs change content below.

Zulhilmi Zainudin

Pereka grafik & pembangun laman web at Zulh Freelancer(tm)
Mempunyai kepakaran di dalam bidang rekaan grafik dan pembangunan laman web berasaskan sistem WordPress. Pengasas projek Bina Blog Dot Com Sendiri.

Label: , , , ,