Apa Itu Sub-domain & Sub-folder Dan Apa Kesannya Kepada Blog Anda? | Bina Blog Dot Com Sendiri

Apa Itu Sub-domain & Sub-folder Dan Apa Kesannya Kepada Blog Anda?

apa-itu-sub-domain-sub-folder-dan-apa-kesannya-kepada-blog-anda

Lokasi blog dipasang merupakan salah satu perkara penting yang wajar dititikberatkan sebelum anda bertindak untuk memiliki sebuah blog sendiri.

Ini kerana, jika anda tersilap memilih lokasi di mana blog anda dipasangkan, anda berkemungkinan besar akan kehilangan pelawat yang berpotensi datang membaca artikel-artikel anda (khususnya melalui enjin carian seperti Google).

Di dalam artikel ini, saya akan berkongsi dengan anda perbezaan di antara sub-domain dan sub-folder. Artikel ini khusus untuk anda yang tidak berminat untuk menggunakan domain utama (contoh: domain.com) sebagai lokasi pemasangan blog.

Untuk memudahkan lagi pemahaman anda, saya telah sediakan satu persembahan PowerPoint di bawah (klik butang di bawah setiap slide untuk bergerak ke slide seterusnya).

Apa Itu Sub-domain?

Baiklah, sub-domain merupakan satu pecahan daripada domain utama anda. Contoh: blog.domain.com. Penggunaan sub-domain ini pada kebiasaannya untuk laman web yang memfokuskan kumpulan sasaran (pelawat) yang lebih besar.

Sebagai contoh, jika sesebuah syarikat global mahu menggunakan satu nama domain sahaja, maka sub-domain boleh digunakan untuk kandungan bagi bahasa / pelawat dari negara-negara tertentu.

Sebagai contoh: my.jenama.com (untuk pelawat Malaysia), sg.jenama.com (untuk pelawat Singapura) atau en.jenama.com (untuk pilihan Bahasa Inggeris) dan my.jenama.com (untuk pilihan Bahasa Melayu).

Sub-domain ini boleh ditambah melalui panel kawalan web hosting cPanel anda. Anda juga boleh melakukan beberapa konfigurasi tambahan melalui cPanel.

Kelebihan & Kekurangan Penggunaan Sub-domain

Kelebihan

  1. Sesuai untuk laman web yang mempunyai kumpulan sasaran / pelawat yang lebih besar.
  2. Sesuai untuk jenama yang sudah popular bagi membawa kandungan yang lebih unik kepada para pelawat.

Kekurangan

  1. Bagi anda yang melakukan usaha SEO (proses optimisiasi untuk membawa artikel dan kandungan blog ke muka teratas enjin carian seperti Google), penggunaan sub-domain dianggap sebagai sebuah laman web baharu. Justeru, kuasa SEO untuk sub-domain ini tidak dipengaruhi oleh domain utama dan anda perlu bekerja lebih keras untuk memastikan kuasa SEO bagi sub-domain ini lebih baik.

Apa Itu Sub-folder?

Sub-folder pula bertindak sebagai komponen kepada domain utama. Ianya sama seperti folder di dalam komputer kita. Sebagai contoh: domain.com/blog (setiap sub-folder dipisahkan dengan tanda palang “/” dihadapannya).

Penggunaan sub-folder ini lebih sesuai untuk laman web dan blog yang kecil dan sederhana. Proses kemaskini juga lebih mudah dan ringkas.

Anda boleh menambah, menyunting dan memadam sub-folder yang dibuat dengan mudah melalui perisian FTP tanpa melalui panel kawalan cPanel web hosting.

Kelebihan & Kekurangan Penggunaan Sub-folder

Kelebihan

  1. Bersifat lebih spesifik dan URL laman web / blog anda mudah diingati oleh para pelawat (hanya satu URL sahaja dan ianya unik).
  2. Kuasa SEO dipengaruhi oleh domain utama. Justeru, jika anda menambah folder baru di dalam domain anda, contoh: domain.com/blog dan pada masa yang sama, kuasa SEO pada domain.com (domain utama) sudah cukup baik, maka proses SEO untuk kandungan blog anda juga akan lebih mudah dan kerja-kerja SEO semakin ringan.

Kekurangan

  1. Kurang sesuai untuk laman web / blog yang mempunyai kumpulan sasaran yang besar di mana kandungan anda bersifat unik. Sebagai contoh, jika blog berada di dalam sub-folder ‘../blog’ dan ianya di dalam Bahasa Inggeris, pelawat yang mahukan kandungan di dalam bahasa yang lain tidak akan memahaminya.
  2. Kurang sesuai untuk kandungan yang mempunyai konsep berlainan / niche berlainan daripada sub-folder yang lain dan domain utama. Ini kerana, di mata enjin carian seperti Google, setiap laman web mempunyai kategori tertentu. Oleh yang demikian, jika laman web / blog berkisar mengenai resepi makanan dan anda membina blog berkisar mengenai ‘pelancongan’ menggunakan sub-folder ‘../travel’, maka ianya boleh menjejaskan usaha SEO anda. Pilihan yang lebih baik adalah penggunaan sub-domain.

***

Kesimpulannya, kedua-dua sub-domain dan sub-folder mempunyai pro dan kontranya yang tersendiri. Cadangan saya untuk anda yang bercadang untuk memiliki blog peribadi dan tidak mahu menggunakan domain utama untuk pemasangan blog, gunakan pilihan sub-folder sahaja.

Kredit foto: meninos.us.

The following two tabs change content below.

Zulhilmi Zainudin

Pereka grafik & pembangun laman web at Zulh Freelancer(tm)
Mempunyai kepakaran di dalam bidang rekaan grafik dan pembangunan laman web berasaskan sistem WordPress. Pengasas projek Bina Blog Dot Com Sendiri.

Label: , , , ,