Servis Hosting Gambar Percuma VS Berbayar - Mana Lebih Baik? | Bina Blog Dot Com Sendiri

Servis Hosting Gambar Percuma VS Berbayar – Mana Lebih Baik?

hosting-gambar-percuma-berbayar
Salah satu cara untuk melajukan blog adalah dengan meletakkan gambar dan fail media blog kita di satu lokasi lain. Yakni, di pelayan (server) yang lain.

Ini bagi mengelakkan pelayan laman web atau blog kita bekerja keras untuk memaparkan setiap kandungan kepada pelawat laman web atau blog kita.

Semakin banyak fail yang perlu pelayan ‘baca’ dan proses, maka semakin lama tempoh loading time laman web atau blog kita.

Servis Hosting Gambar Percuma

Antara servis hosting gambar percuma yang biasa kita dengar adalah seperti:

  • Flickr
  • Photobucket
  • Imgur
  • Pinterest

Kelebihan

Antara kelebihan menggunakan servis percuma ini adalah:

  1. Menjimatkan kos: kita tak perlu keluarkan apa-apa belanja untuk hos gambar di sini.
  2. Sosial: apabila kita berkongsi di Flickr & Pinterest dengan menggunakan title & description yang sesuai, imej kita mungkin lebih mudah untuk dijumpai oleh pengguna lain.
  3. Infrastruktur terbaik: kita sedia maklum bahawa servis seperti di atas disokong oleh jenama-jenama yang besar dengan bajet yang besar. Oleh itu, gambar kita disimpan di dalam pelayan yang mempunyai spesifikasi yang tinggi dan menepati standard industri.

Kekurangan

Namun begitu, menggunakan servis percuma ini ada kelemahannya yang tersendiri seperti:

  1. Akaun akan disekat bila-bila masa: kita mungkin secara sengaja atau tidak sengaja akan melanggar Terma & Syarat servis-servis di atas. Kesannya, akaun kita akan di-banned dan semua gambar kita akan hilang.
  2. Bandwidth limit: servis seperti Photobucket mempunyai had data yang tersendiri untuk akaun percuma. Jika anda menggunakan gambar yang dihoskan dari servis ini dan menerima trafik yang tinggi, besar kemungkinan gambar anda tidak akan dipaparkan selepas anda mencapai tahap data yang dibenarkan setiap bulan.
  3. Nama imej tidak mesra SEO: selain itu, apabila kita menggunakan servis percuma seperti di atas, nama fail gambar kita akan bertukar daripada ‘nama-gambar.jpg‘ kepada ‘asdfghjkl12345.jpg‘. Dari sudut SEO, format nama gambar seperti ini tidak bagus untuk jangka masa panjang.

Servis Hosting Gambar Berbayar

Sebelum kita bergerak kepada bahagian kelebihan & kelemahan servis ini, adalah lebih baik untuk saya kongsikan dahulu definisi ‘berbayar’ di sini.

Definisi ‘Berbayar’

Baik, apa yang saya maksudkan dengan ‘berbayar’ di sini adalah, kita hoskan imej-imej yang akan kita gunakan pada blog kita di satu pelayan yang lain.

Contoh, kita langgan satu akaun web hosting lain HANYA untuk tujuan hosting fail media seperti gambar, audio dan video sahaja.

Dengan melakukan cara ini, pelayan utama (laman web atau blog kita menggunakan pelayan ini) tidak akan bekerja terlalu kuat & lama untuk memuatkan setiap fail yang patut dimuatkan apabila menerima pembaca.

Pelayan laman web atau blog kita hanya akan ‘panggil’ gambar-gambar yang perlu dari pelayan kedua yang baru kita pasang. Delegasi tugas berlaku di sini antara dua pelayan.

Anda jelas?

Baik, mari kita teruskan.

Kelebihan

Antara kelebihan menggunakan cara berbayar adalah:

  1. Tiada had bandwidth: bergantung kepada jenis akaun yang anda pilih, anda mempunyai kapasiti penggunaan data yang lebih besar berbanding akaun jenis percuma di atas.
  2. Tiada sekatan akaun: selain itu, anda sudah tidak terikat dengan apa-apa Terma & Syarat pihak ketiga yang boleh memungkinkan akaun anda disekat akses dan gambar anda tidak akan dipadamkan tanpa notis.
  3. Nama fail mesra SEO: bagi anda yang mementingkan SEO untuk blog, menggunakan cara berbayar ini boleh memberi nilai tambah kepada SEO blog anda. Contohnya, jika anda muat naik gambar bernama ‘nama-gambar.jpg‘, ia akan kekal ‘nama-gambar.jpg‘ selagi anda tidak mengubahnya pada control panel atau cPanel pelayan anda.

Kekurangan

Namun begitu, menggunakan servis berbayar ini juga ada kelemahannya seperti:

  1. Kos bulanan: kos bulanan yang perlu ditanggung akan semakin meningkat. Anda harus memperuntukkan bajet baru untuk tujuan ini.
  2. Kurang pendedahan sosial: tidak sama seperti menggunakan servis seperti Pinterest dan Flickr, imej anda kurang ‘exposure‘ di Internet. Dalam kata lain, ini kerana imej anda dihos dalam persekitaran yang tertutup. Bukan seperti Pinterest atau Flickr yang berkonsepkan media sosial + image hosting.
  3. Perlu kemahiran teknikal: selain itu, apabila anda memilih cara ‘berbayar’ seperti yang saya nyatakan di atas, ianya memerlukan anda untuk ambil tahu serba sedikit akan perihal teknikal mengendalikan laman web dan blog. Ia mungkin satu yang agak sukar bagi anda yang tida berasal dari latar belakang teknologi.

***

Kesimpulannya, menggunakan servis hosting gambar percuma dan berbayar mempunyai kebaikan dan kelemahannya yang tersendiri. Bergantung kepada keperluan semasa anda, saya harap artikel ini boleh membantu dan memberi kefahaman yang lebih jelas lagi.

Anda Pilih Yang Mana?

Antara opsyen percuma dan berbayar, yang mana satu pilihan anda?

Kongsikan pilihan dan sebab-sebab kenapa anda memilih opsyen tersebut dalam ruangan komen di bawah.

The following two tabs change content below.

Zulhilmi Zainudin

Pereka grafik & pembangun laman web at Zulh Freelancer(tm)
Mempunyai kepakaran di dalam bidang rekaan grafik dan pembangunan laman web berasaskan sistem WordPress. Pengasas projek Bina Blog Dot Com Sendiri.

Label: , ,