Apa Yang Baru Pada WordPress 3.9 Kelak? | Bina Blog Dot Com Sendiri

Apa Yang Baru Pada WordPress 3.9 Kelak?

baru-dalam-wordpress-3-9

Seperti yang kita sedia maklum, WordPress merupakan sebuah CMS yang semakin popular dalam kalangan pemilik laman web & blog hari ini.

Sistem pengurusan kandungan sumber terbuka ini mendapat tempat dalam kalangan penggunanya kerana sifatnya yang ‘user friendly‘ dan disokong oleh ramai pembangun luar melalui pelbagai plugins & themes.

Ketika artikel ini ditulis, versi WordPress adalah 3.8.1. Pasukan pembangunan WordPress kini sedang giat mempersiapkan versi stabil seterusnya, WordPress 3.9 yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Apa Yang Baru Dalam WordPress 3.9?

Pihak WordPress mengatakan, mereka akan membawakan beberapa perkara baru yang lebih menarik dalam versi 3.9 ini. Antaranya adalah:

#1 – Post Editor Baru

wordpress-3-9-post-editor

Post editor sedia ada pada versi 3.9 akan menggunakan TinyMCE baru yang lebih ‘clean’. TinyMCE adalah sebuah komponen yang membolehkan kita menulis artikel dengan mudah.

Dengan TinyMCE, kita dalam mod ‘What You See Is What You Get (WYSIWYG)‘ di mana, apabila kita klik pada butang ‘B‘, teks kita akan menjadi tebal (bold) secara automatik tanpa mengubah kod HTML-nya.

Selain itu, sokongan ‘Paste from Word‘ juga akan dihapuskan pada Post Editor WordPress 3.9 kelak. WordPress membuang sokongan ini kerana ia kurang digunakan oleh para pengguna dan ‘formatting issues‘ yang banyak berlaku.

#2 – Sokongan Drag-n-Drop Images Pada Post Editor

Sokongan Drag-n-Drop Images sebenarnya sudah lama hadir pada WordPress. Cuma, ianya terhad pada bahagian Media sahaja.

Dalam versi 3.9, WordPress menambah sokongan itu pada Post Editor di mana ia akan memudahkan pengguna memuatnaik gambar dengan lebih pantas dan mudah tanpa perlu menekan butang ‘Add Media‘ seperti sekarang.

#3 – Preview Widgets Secara Langsung

wordpress-3-9-widgets

Jika sekarang kita perlu melalui proses ‘Save & Refresh‘ secara manual untuk melihat tetapan widgets yang kita buat, perkara ini cuba dipermudahkan oleh pasukan pembangunan WordPress pada versi 3.9 kelak.

Dengan sokongan Live Widget Preview, kita sudah boleh melihat setiap perubahan yang kita buat pada widget dengan segera pada halaman Customizer.

Sokongan muat naik, crop & pengurusan header juga boleh dilakukan pada halaman Customizer kelak.

#4 – Edit & Crop Gambar

Selain itu, versi 3.9 kelak juga membolehkan kita mengedit & crop gambar dengan mudah melalui Post Editor sahaja. Pihak WordPress mengatakan, sokongan crop ini akan menggunakan cara ‘drag‘ bagi memudahkan pengguna.

Bagi sokongan edit gambar pula, pengguna sudah tidak lagi dibawa ke halaman gambar. Sebaliknya, sebuah modal window (pop-up) akan dikeluarkan. Ini memudahkan pengguna sekaligus mengurangkan jumlah halaman yang perlu dibuka semasa proses menulis artikel.

#5 – Pemasang Tema Baru

wordpress-3-9-add-themes

WordPress 3.9 juga akan membawakan halaman pengurusan tema yang lebih kemas bagi memudahkan kita melihat preview tema sebelum mengaktifkannya.

#6 – Playlist Audio & Video

Mungkin sokongan ini jarang digunapakai oleh pengguna biasa. Namun begitu, jika anda seorang ahli musik atau juruvideo, sokongan ini pasti berguna.

Melalui versi 3.9 nanti, anda sudah boleh memuatnaik beberapa fail audio & video dan meletakkannya dalam satu kumpulan menggunakan sokongan ‘playlist‘ ini.

***

Kesimpulannya, WordPress 3.9 kelak akan membawa pelbagai pembaharuan bagi memudahkan pengguna. Beberapa kod-kod teras juga dikaji semula menjadi lebih baik.

Bagi anda yang berminat untuk mencuba lebih awal, anda boleh sertai WordPress Beta Tester atau muat turun versi beta WordPress 3.9 di sini.

Kredit: wpmudev.

The following two tabs change content below.

Zulhilmi Zainudin

Pereka grafik & pembangun laman web at Zulh Freelancer(tm)
Mempunyai kepakaran di dalam bidang rekaan grafik dan pembangunan laman web berasaskan sistem WordPress. Pengasas projek Bina Blog Dot Com Sendiri.

Label: , ,