5 Tips Menulis Artikel Blog Dengan Pantas | Bina Blog Dot Com Sendiri

5 Tips Menulis Artikel Blog Dengan Pantas

5-tips-menulis-artikel-blog-dengan-pantas
Bagi seorang penulis, kelajuan dan kebolehan menyiapkan sesuatu karya adalah kunci kejayaan yang membawa kepuasan kepada dirinya. Namun begitu, tahap kelajuan seseorang penulis dalam menyediakan sesebuah karya berbeza-beza bergantung kepada beberapa perkara.

Seringkali kita dengar bahawa ‘tiada idea untuk menulis‘ menjadi sebab utama yang menghentikan hasrat seseorang penulis untuk terus menulis. Sebenarnya, isu ketandusan idea ini tidak menjadi satu isu yang besar jika seorang penulis itu tahu bagaimana untuk keluar daripada masalah itu.

Masalah tiada idea untuk menulis juga berpunca daripada kehendak si penulis itu sendiri yang mahukan kesempurnaan sahaja. Secara tidak langsung, si penulis perlukan begitu banyak masa untuk menulis, menyunting dan menerbitkan hasil karyanya di Internet.

Tulis Gaya Mudah & Pantas

Untuk mengatasi masalah ini, berikut adalah 5 tips yang boleh anda amalkan untuk membantu anda menyediakan artikel dengan lebih mudah dan pantas. Pendekatan mudah, ringkas dan tidak perlukan sebarang jampi.

#1 – Tulis Dalam Bentuk Senarai

Seperti yang anda dapat lihat dalam artikel ini, saya menggunakan nombor untuk setiap isi yang cuba saya kongsikan. Dengan menulis dalam bentuk nombor seperti ini, mudah bagi kita untuk kekal fokus pada sesuatu isi yang cuba disampaikan.

Selain pilihan nombor, penggunaan bullet point juga boleh digunakan. Tiada format khusus dalam hal ini. Anda sebagai seorang penulis bebas untuk menggunakannya berdasarkan topik yang anda bawa.

#2 – Masukkan Nombor Dalam Tajuk Artikel

Teknik meletakkan nombor dalam tajuk artikel juga adalah antara teknik kegemaran saya. Apabila kita meletakkan nombor di dalam tajuk artikel, kita sebagai penulis boleh membawa fikiran kita untuk fokus kepada beberapa perkara itu sahaja untuk ditulis.

Bagi pembaca pula, mereka yang melihat tajuk artikel kita akan tertanya-tanya, apakah yang ada disebalik artikel kita itu. Adakah mereka sudah tahu? Adakah mereka belum tahu? Adakah bermanfaat? Unsur suspens ini secara tidak langsung boleh menjemput mereka datang membaca artikel kita.

#3 – Tonjolkan Bahagian Penting

Bahagian-bahagian penting dalam artikel boleh dipisahkan menggunakan sub-headline. Sebagai contoh, jika anda berkongsi cara menyediakan sesuatu resepi di blog, antara sub-headline yang boleh digunakan untuk memisahkan beberapa bahagian di dalam artikel adalah seperti:

  • Bahan Yang Diperlukan
  • Cara Penyediaan
  • Cara Hidangan

#4 – Tulis Pendahuluan

Amalkan memulakan artikel dengan pendahuluan ringkas tentang topik yang ditulis di dalam artikel. Tidak perlu terlalu panjang. 2-3 baris sudah memadai sebagai pembuka bicara dan sebagai tanda kita menghormati pembaca.

Antara cadangan pendahuluan adalah:

  • Aktiviti anda pada hari semalam? (sesuai untuk blog peribadi)
  • Daripada mana anda mendapat ilham tentang topik tersebut?
  • Kenapa anda mahu kongsikan topik tersebut dengan pembaca?

#5 – Inspirasi & Beri Cadangan Buat Si Pembaca

Mereka yang datang mendapatkan informasi daripada blog kita mahukan satu penyelesaian dan cadangan daripada kita. Oleh yang demikian, anda boleh sertakan cadangan dan pendapat anda sebagai seorang penulis di bahagian akhir artikel, yakni pada bahagian penutup atau kesimpulan.

Antara cadangan kesimpulan adalah:

  • Adakah produk tersebut berbaloi berbanding produk persaing? (sesuai untuk artikel berbentuk review)
  • Adakah cara yang anda gunakan benar-benar berkesan? (sesuai untuk artikel berbentuk tutorial)
  • Benar atau salah tanggapan anda & pembaca sebelum ini tentang sesuatu perkara tersebut? (sesuai untuk artikel berbentuk kajian kes)

***

Kesimpulannya, proses menyediakan artikel tidak begitu sukar jika kita sebagai penulis mengamalkan teknik yang betul. Dengan mengamalkan teknik yang betul, kita akan lebih mudah dan lancar untuk menyediakan sesuatu karya yang disukai dan dicintai pembaca.

P/S: Anda belajar sesuatu? Kongsi artikel ini dengan rakan-rakan anda. Klik Like, Tweet atau +1 di bawah artikel untuk berkongsi.

Kredit foto: Philippa Willitts.

The following two tabs change content below.

Zulhilmi Zainudin

Pereka grafik & pembangun laman web at Zulh Freelancer(tm)
Mempunyai kepakaran di dalam bidang rekaan grafik dan pembangunan laman web berasaskan sistem WordPress. Pengasas projek Bina Blog Dot Com Sendiri.

Label: , ,