5 Tips Penulisan Blog Persuasif Yang Perlu Anda Tahu
Menulis itu indah. Perasaan suka dan gembira itu hadir apabila apa yang kita kongsikan itu dapat difahami dengan jelas, mudah dan lancar oleh pembaca.
Namun begitu, skil penulisan yang baik dan berpengaruh tidak hadir dengan mudah. Ianya memerlukan latihan yang konsisten disamping selalu mendekatkan diri dengan pelbagai bahan bacaan ilmiah yang lain bagi melatih diri agar terbiasa dengan bait-bait perkataan yang indah dan bermakna.
Hari ini kita akan pelajari 5 teknik penulisan berpengaruh untuk diaplikasikan di dalam penulisan blog. Kaedah ini sudah terbukti boleh meningkatkan kepercayaan dan membina kesetiaan dalam diri pembaca terhadap si penulis blog.
#1 – Perenggan Pendek & Tersusun
Jika kita lihat pada berita yang ditulis di dalam akhbar dan juga cerita di dalam majalah, wartawan dan editor berusaha sebaik mungkin untuk menyusun kandungan yang bakal dibaca itu dalam keadaan yang kemas.
Mereka tidak membiarkan berita dan cerita itu berada dalam satu perenggan sahaja. Tetapi, mereka pisahkannya kepada beberapa perenggan yang lebih pendek, bagi memudahkan pembaca mendapat ‘ruang rehat’ sewaktu membaca.
#2 – Tajuk Kecil, Skop Besar
Tajuk yang lebih kecil ini juga boleh kita lihat di dalam penulisan majalah. Pengguna tajuk-tajuk yang lebih kecil boleh menukar fokus pembaca daripada satu plot cerita, ke satu plot cerita baharu.
Bagi penulis, tajuk-tajuk kecil ini juga boleh membantu proses penulisan agar lebih mudah fokus dan tidak meleret ke poin yang tidak releven dengan tema utama artikel yang sedang ditulis.
#3 – Bahasa Melayu Penuh (BMP)
Penulis yang menggunakan Bahasa Melayu Penuh (BMP) adalah penulis yang memudahkan para pembacanya. Proses pembacaan artikel di Internet lebih pantas dan lancar jika artikel itu ditulis tanpa menggunakan ‘bahasa SMS’ yang kontot.
Malah, penggunaan BMP juga boleh mengurangkan risiko salah faham di mana bahasa kontot yang sering digunakan sering disalahtafsir oleh pembaca. Usah sia-siakan pengajian Bahasa Melayu yang kita pelajari bertahun-tahun di alam persekolahan dahulu.
#4 – Semak Dan Semak
Menulis dalam situasi yang begitu ghairah itu merupakan satu bonus kepada penulis. Namun, penulisan pada saat ini mungkin mengundang pelbagai kesalahan pada struktur ayat dan maksud yang cuba disampaikan.
Oleh yang demikian, adalah lebih baik untuk anda semak dan semak terlebih dahulu setiap artikel yang bakal diterbitkan. Dengan melakukannya, anda boleh meminimakan kesalahan dan memperbetulkan makna yang cuba anda sampaikan di dalam artikel.
#5 – Rehat 3 Hari, Kembali Semula
Tip ini hanya untuk penulis yang rajin sahaja. Apabila kita asyik menulis, fikiran kita sudah begitu sebati dengan apa yang sedang kita tulis. Lantas, kita fikir semua yang berada di dalam kepala, sudah tertulis.
Perkara ini pernah terjadi kepada diri saya sendiri di mana apabila saya membaca semula beberapa artikel terdahulu yang ditulis sendiri, saya mendapati bahawa ada poin-poin penting yang perlu ditulis, tertinggal begitu sahaja.
Jadi, cadangan saya, terbitkan dahulu artikel yang telah siap ditulis itu, dan kembali semula selepas tempoh 3 hari untuk membacanya semula. Jika anda kurang berpuas hati, maka gunakan saat ini untuk menambah dan memperkasakan lagi penulisan anda. Malah, anda juga akan berasa lebih fresh pada ketika ini untuk melakukan kerja-kerja editorial.
***
Kesimpulannya, penulisan berpengaruh boleh dibina dan dilatih. Anda perlu konsisten mengamalkan rutin-rutin penulisan ini bagi membiasakan diri anda dengan penulisan yang baik, kemas, jelas dan mudah difahami pembaca. Selamat mencuba!
Kredit foto: _StaR_DusT_.
Zulhilmi Zainudin
Latest posts by Zulhilmi Zainudin (see all)
- WordPress 5.0 — Apa Yang Baru? - 16/12/2018
- Berapa Pantas Web Anda Di Smartphone? Semak Sekarang Di Sini - 20/01/2017
- WordPress 4.7 Dilancarkan Secara Rasmi - 17/12/2016
Label: tips menulis untuk blog, tips penulisan berpengaruh, tips penulisan untuk blog