7 Cara Bagaimana Blog Boleh Membantu Perniagaan Anda | Bina Blog Dot Com Sendiri

7 Cara Bagaimana Blog Boleh Membantu Perniagaan Anda

7-cara-bagaimana-blog-boleh-membantu-perniagaan-anda
Jika suatu ketika dahulu, proses pengiklanan awal hanyalah bermula dengan media-media tertentu sahaja seperti akhbar dan bahan bacaan yang lazim dibaca oleh masyarakat, hari ini kita sudah mempunyai akses kepada lebih daripada itu.

Kebangkitan dan kemajuan teknologi telah banyak membawa perubahan kepada landskap pengiklanan dan pemasaran moden. Apabila bercakap mengenai kaitan teknologi dan bisnes, sudah semestinya kita tidak boleh lari daripada bercakap tentang blog dan laman web bisnes.

Seperti yang kita dapat lihat kini, jenama-jenama unggul antarabangsa dan tempatan sudah mula bertindak untuk menarik minat para prospek agar mesej-mesej jualan minda separa sedar boleh disuntik secara halus ke dalam minda para prospek dengan mewujudkan blog untuk berkongsi cerita berkaitan bisnes mereka.

Membina blog untuk perniagaan mempunyai pelbagai kelebihannya tersendiri dan di dalam artikel ini, kita akan lihat beberapa lagi perkara yang mungkin sebelum ini tidak pernah terlintas di dalam fikiran kita sebagai seorang pemilik bisnes.

#1 – Kebangkitan Media Sosial & Carian di Internet

Jika dulu kita hanya mengetahui sesuatu jenama hanya apabila kita mendengar iklan-iklan di radio dan televisyen sahaja, sekarang kita dihidangkan dengan lebih banyak iklan setiap hari. Iklan-iklan ini datang daripada bisnes itu sendiri atau melalui cadangan rakan-rakan kita di media sosial.

Perubahan pada cara pengguna Internet mencari sesuatu maklumat juga boleh kita lihat dengan lebih jelas apabila mereka dengan mudahnya boleh menaip apa sahaja yang mereka mahu hanya melalui Google, Yahoo! dan lain-lain servis seumpamanya.

Hal ini secara tidak langsung memberi peluang baru kepada bisnes kita agar mudah dikenali dan dijumpai oleh mereka yang berminat dengan produk dan servis kita.

#2 – Kredibiliti & Jenama

Seterusnya, mereka yang berlegar-legar di Internet ini pula akan membuat penilaian terhadap bisnes kita. Mereka akan lihat bagaimana gaya persembahan jualan produk kita kepada mereka.

Melalui blog yang sarat dengan perkembangan terkini bisnes, ianya boleh menjadi markah bonus kepada kita sebelum prospek tersebut bertindak membuat pembelian. Hal ini kerana, mereka telah melihat bukti-bukti nyata bahawa bisnes kita benar-benar serius dan bukan bisnes main-main.

#3 – Idea Bisnes Baharu

Apabila kita mula menulis dan berkongsi sesuatu bersama para pengikut dan pembaca blog bisnes kita, secara tidak langsung ianya akan membantu kita untuk mendapat idea-idea baharu yang boleh kita gunakan untuk memantapkan lagi bisnes yang sedang dijalankan.

Bagi anda yang belum mencuba, mungkin anda fikir kenyataan ini adalah karut. Namun bagi saya, ianya telah terbukti boleh membantu. Apabila saya mula menaip beberapa baris ayat, idea-idea yang sebelum ini tidak pernah terlintas dalam fikiran mula datang secara spontan begitu sahaja.

Belum cuba, belum tahu. Betul?

#4 – Komuniti & Peminat Tegar

Setiap daripada kita pasti meminati sesuatu jenama atau produk sehinggakan kita sudah tidak mahu lagi melihat produk dan jenama lain apabila dicadangkan oleh sesiapa sahaja yang kita jumpa. Situasi ini adalah situasi emas yang diidamkan oleh setiap bisnes.

Melalui perkongsian berterusan kita kepada mereka yang mengikuti kita di blog, kita secara tidak langsung mengajak mereka untuk suka dan cinta terhadap produk dan bisnes kita. Mereka yang sebelum ini melihat bisnes kita ‘biasa-biasa sahaja‘ akan mula berminat dan mahu mencuba produk kita. Yang telah lama bersama kita, akan terus bersama kita.

#5 – Kritikan & Peluang

…bisnes yang tidak mempunyai kritikan adalah bukan bisnes

Pengalaman peribadi saya sepanjang berbisnes juga telah menemukan saya dengan pelbagai ragam pelanggan. Ada yang baik-baik sahaja dan ada juga yang memberi kritikan keras.

Namun begitu, setiap kritikan adalah peluang kepada setiap bisnes untuk mengenalpasti kekurangan dan memperbaiki kelemahan itu. Setiap komen yang ditinggalkan di blog bisnes kita wajar kita hargai kerana tanpa kritikan mereka, bisnes kita akan tetap berada pada tahap yang sama tanpa sebarang kemajuan.

#6 – Pendedahan Media

Jika anda bermula dengan modal yang kecil, tidak perlu risau. Buat sahaja apa yang kita mampu terlebih dahulu. Konsisten, yakin dan pekakkan telinga. Bermula dengan modal yang besar tanpa sebarang pengalaman dan ilmu yang betul sekalipun boleh membawa risiko kerugian. Sama sahaja.

Blog adalah medium pemasaran berkos rendah. Tetapi, ianya boleh masuk ke semua wilayah di seluruh dunia tanpa sebarang bayaran dan cukai.

Beberapa kenalan yang saya kenal dan jumpa, mereka tidak pernah terfikir sekalipun dalam fikiran bahawa mereka akan ditemubual dan diwawancara di kaca televisyen dan media-media ini dengan rela hati mahu menulis kisah-kisah mereka di akhbar dan majalah!

Anda nampak sesuatu melalui cerita ini? Bagus. Teruskan bacaan.

#7 – Rangkaian Baharu Yang Tidak Disangka-sangka

Kerjasama dalam bisnes adalah perkara biasa. Melalui kerjasama, bisnes kita boleh menawarkan lebih nilai kepada pelanggan sedia ada tanpa perlu bersusah payah melakukannya daripada mula.

Melalui blog, bisnes mempunyai potensi yang cukup besar untuk dijumpai oleh rakan-rakan yang berada di dalam industri yang sama dengan kita. Kerjasama awal boleh bermula melalui blog sekaligus berpotensi menjemput lebih banyak kerjasama yang lebih besar pada masa akan datang.

***

Kesimpulannya, mewujudkan blog untuk perniagaan mempunyai banyak kebaikannya yang tersendiri. Sebagai seorang pemilik bisnes yang mahu menjaga kelangsungan bisnes agar jenama bisnes terus ‘melekat rapat’ dalam minda dan terus dicintai pelanggan, blog boleh membantu anda.

Klik di sini untuk mula bina blog perniagaan anda sekarang!

Kredit foto: seagers.

The following two tabs change content below.

Zulhilmi Zainudin

Pereka grafik & pembangun laman web at Zulh Freelancer(tm)
Mempunyai kepakaran di dalam bidang rekaan grafik dan pembangunan laman web berasaskan sistem WordPress. Pengasas projek Bina Blog Dot Com Sendiri.

Label: , ,