7 Idea Promosi Blog Secara Offline | Bina Blog Dot Com Sendiri

7 Idea Promosi Blog Secara Offline

7-idea-promosi-blog-secara-offline
Jika sebelum ini kita telah tahu idea-idea untuk mempromosikan blog secara percuma melalui Internet, hari ini kita akan lihat pula beberapa idea yang boleh digunakan untuk mempromosikan blog kita di luar Internet (secara offline).

Melalui pelbagai cara pemasaran, kita berpeluang menerima pembaca blog baru yang berpotensi menjadi pembaca setia blog kita. Usaha pemasaran tersebut boleh dilakukan berdasarkan kepada kemampuan dan bajet masing-masing.

Antara cara untuk mempromosikan blog secara offline adalah:

#1 – Hadir Ke Perjumpaan, Seminar & Bengkel

Komuniti penulis blog tempatan semakin hari semakin aktif dengan pelbagai aktiviti. Antara aktiviti yang lazim dilakukan adalah majlis berbuka puasa dan Hari Raya. Selain itu, seminar dan bengkel tertutup juga semakin mendapat tempat dan disambut baik oleh para penulis blog.

Dengan menghadirkan diri ke acara seperti ini, secara tidak langsung kita berpeluang untuk mengenali dengan lebih dekat para penulis blog lain di dalam industri sekaligus membina jaringan kenalan yang lebih ramai. Sambil-sambil berjumpa, sambil-sambil promosi blog.

#2 – Buat T-shirt

T-shirt adalah antara salah cara yang sering digunakan oleh para pemilik blog untuk membawa mesej jenama blog mereka dengan lebih meluas. Dengan memiliki t-shirt blog sendiri juga, kita dilihat seorang yang serius untuk mempromosikan blog kita.

Kos untuk mendapatkan sehelai t-shirt custom made dalam kuantiti kecil (bawah 5 helai) sekitar RM50 sehelai sahaja – bergantung kepada desain yang mahu dicetak di atas t-shirt tersebut. Cetak sekali, promosi berkali-kali.

#3 – Beri Cenderahati

Bagi anda yang memiliki buku sendiri dan dalam masa yang sama, menulis di blog, salah satu idea yang boleh digunakan adalah dengan menggunakan cenderahati seperti penanda buku untuk diberikan kepada para pembaca buku anda.

Selain mendapatkan autograf peribadi, pemberian cenderahati seperti ini boleh membuatkan si pembaca tersebut rasa lebih dihargai. Sekaligus membenarkan jenama anda untuk lebih dekat di dalam jiwa mereka. Modal kecil, impak besar.

#4 – Guna Kotak Produk

Untuk anda yang mempunyai bisnes dan produk anda dibungkus dalam kotak, anda boleh meletakkan URL blog anda pada kotak tersebut. Bergantung kepada bajet anda. Jika mempunyai bajet yang cukup, dapatkan khidmat rekaan grafik daripada pereka grafik professional untuk tujuan ini.

Ataupun, jika anda tidak bercadang untuk menggunakan cara itu, cara lain yang boleh dilakukan adalah dengan menggunakan cop getah ringkas sahaja. Buat satu cop getah di kedai cop dan letakkan URL blog anda. Kemudian, cop sahaja di kotak produk sebelum diserahkan atau diposkan kepada pelanggan.

#5 – Hantar Surat & Kad Ucapan

Surat pada zaman sekarang masih lagi digunakan dengan meluas untuk tujuan rasmi dan tidak rasmi. Idea di sini adalah, jika bisnes anda menggunakan surat untuk memaklumkan sesuatu perkara pada pelanggan, pastikan terdapat URL blog pada surat anda tersebut.

Atau, jika anda mengirimkan surat personal ataupun kad hari raya kepada sahabat handai, tiada salahnya untuk menulis URL blog anda pada surat dan kad tersebut. Secara tidak langsung, anda boleh mengekalkan hubungan berterusan dengan si penerima.

#6 – Guna Kenderaan

Salah satu cara yang boleh digunakan untuk mempromosikan blog pada kenderaan adalah dengan menggunakan sticker yang dilekatkan pada cermin kereta ataupun pada badan kereta. Kita boleh lihat ahli-ahli kelab dan persatuan tertentu memasang sticker seperti ini pada kereta mereka.

Bagi anda yang mempunyai kenderaan bisnes seperti van dan lori, anda juga boleh gunakan ruang pada badan kenderaan ini untuk mempromosikan blog anda. Pastikan juga ayat promosi yang digunakan itu benar-benar boleh menarik minat mereka yang melihat kenderaan anda.

#7 – Beri Hadiah

Pada musim-musim tertentu, mungkin hadiah menjadi pilihan untuk mengeratkan lagi hubungan. Ideanya di sini, selitkan URL blog anda pada kad ucapan hadiah tersebut.

Cara ini juga sesuai digunakan untuk anda yang memiliki bisnes dan menghantar hadiah tertentu kepada pelanggan. Sifat manusia itu suka dihargai. Jadi, ambil peluang ini sebaik mungkin untuk mendekatkan lagi jenama anda dengan si pelanggan tersebut.

***

Kesimpulannya, terdapat pelbagai cara yang boleh digunakan untuk mempromosikan blog kita secara offline. Setiap cara mempunyai kelebihan dan kekurangannya tersendiri dan mempunyai bajetnya yang tersendiri. Pilih berdasarkan kemampuan anda dan jadi lebih kreatif. Semoga berjaya!

Kredit foto: pasukaru76.

The following two tabs change content below.

Zulhilmi Zainudin

Pereka grafik & pembangun laman web at Zulh Freelancer(tm)
Mempunyai kepakaran di dalam bidang rekaan grafik dan pembangunan laman web berasaskan sistem WordPress. Pengasas projek Bina Blog Dot Com Sendiri.

Label: , ,