7 Kepercayaan Karut Tentang Blogging Yang Perlu Anda Tahu | Bina Blog Dot Com Sendiri

7 Kepercayaan Karut Tentang Blogging Yang Perlu Anda Tahu

7-kepercayaan-karut-tentang-blogging-yang-perlu-anda-tahu
Blogging pada satu ketika dahulu sering dilabelkan sebagai salah satu aktiviti buang masa dan hanya untuk orang malas sahaja.

Namun, selari dengan perederan arus teknologi yang semakin bergerak pantas, tanggapan negatif masyarakat terhadap aktiviti blogging semakin berubah.

Bagi seorang penulis blog atau blogger yang masih baru, mereka cenderung untuk lebih percaya terhadap kepercayaan-kepercayaan karut yang mereka dengar berbanding mengalami dan mencubanya sendiri.

Antara kepercayaan karut dalam aktiviti blogging adalah:

#1 – Kandungan Adalah Segala-galanya

Hukum ‘Content is King‘ tidak selalu tepat.

Ini kerana, pada zaman media sosial kini, kandungan yang bersifat ‘biasa-biasa sahaja’ sudah boleh memintas kandungan yang ditulis dengan begitu baik melalui kuasa viral yang dibawa oleh ombak media sosial.

Kandungan yang baik ini boleh tenggelam dalam dunianya sendiri dan dipandang sepi andai tidak menerima dos pengaruh yang mencukupi melalui perkongsian sosial yang semakin mendapat tempat di hati pembaca setia blog.

#2 – Hanya Pemasaran Menentukan Hidup Mati Blog

Blogging bukan seperti menjual produk runcit di pasaran. Jika dipasarkan dengan baik dan meluas, semakin deras jualan berjaya diperoleh. Namun, konsep blogging jauh lebih luas daripada itu.

Blog yang berjaya adalah blog yang mempunyai komunitinya yang tersendiri. Komuniti ini menjadi pembaca setia yang datang secara rela setiap hari, setiap minggu dan setiap bulan untuk membaca kandungan yang diterbitkan.

Mereka inilah adalah agen pemasaran sebenar blog!

#3 – SEO Sudah Ketinggalan Zaman

Dengan perkembangan media sosial sekarang, para penulis cenderung untuk berkongsi kandungan terbaru mereka hanya melalui saluran-saluran tertentu untuk mendapatkan ‘trafik segera’.

Mereka mengabaikan SEO yang mana melaluinya, pelawat semulajadi yang akan datang melalui carian di Internet sangat tinggi.

Trafik sebegini adalah trafik yang bernilai tinggi kerana pelawat dalam kelompok ini benar-benar berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai kandungan kita.

#4 – Trafik Banyak, Duit Banyak

Proses mendapatkan ‘trafik segera’ secara pukal adalah mudah. Namun, ianya tidak berkualiti dan besar kemungkinan, pelawat-pelawat ini datang ke blog kita secara terpaksa ataupun secara tidak sengaja.

Apa yang lebih penting untuk menjana duit dengan blog adalah dengan menerima trafik yang berkualiti.

Pelawat yang berkualiti datang dengan rela hati untuk membaca kandungan yang ditulis dan mereka benar-benar dahagakan ilmu dan pengetahuan yang kita sediakan.

Mereka tiada masalah untuk mengeluarkan wang, untuk melabur sedikit lebih bagi mendapatkan lebih banyak ilmu daripada kita.

#5 – Tulis Lebih Panjang, Trafik Mencurah-curah

Kandungan yang ditulis antara 2000 hingga 3000 patah perkataan tidak menjanjikan pelawat yang ramai. Pelawat tidak pernah kisah sepanjang manapun kandungan yang kita tulis.

Pada kebiasaannya, pelawat hanya akan mengimbas secara pantas kandungan kita sebelum singgah di beberapa poin yang mereka mahu mengetahuinya dengan lebih lanjut.

Jadi, tiada sebarang jaminan, kandungan yang panjang boleh menjamin trafik yang banyak dan konsisten.

#6 – Duit Hanya Pada Ruang Iklan

Tidak dinafikan bahawa ruang iklan merupakan salah satu sumber pendapatan paling popular untuk semua pemilik blog.

Namun, bagaimana pula jika blog anda tidak mempunyai pelawat yang sebegitu ramai sehingga anda tidak layak untuk memohon untuk menjadi salah seorang ahli kepada syarikat rangkaian iklan?

Usah bersedih. Skop buat duit dengan blog tidak hanya tertumpu pada ruang iklan semata-mata. Lihat dan fikir dari sudut pandang seorang usahawan.

Fikir bagaimana untuk menjadikan blog anda sebagai satu bisnes yang mempunyai saluran pendapatan yang tersendiri.

#7 – Wajib Tulis Setiap Hari Jika Mahu Berjaya

Blog bukan media berita.

Blog lebih bersifat personal di mana penulis bebas untuk berkongsi pendapatnya kepada pembaca dan secara langsung menjemput pembaca untuk meninggalkan pendapat mereka berdasarkan topik yang dibawa oleh penulis.

Bagi seorang penulis biasa, isu ‘writer’s block‘ adalah isu biasa dihadapi apabila terlalu kerap menulis. Oleh yang demikian, menulis pada setiap hari bukanlah satu kemestian.

Apa yang lebih penting adalah, tulis apabila kita benar-benar bersedia, ketika idea mencurah-curah.

***

Kesimpulannya, terdapat beberapa kepercayaan karut dalam aktiviti blogging yang boleh membunuh momentum para penulis blog untuk lebih kreatif berblogging.

Sebagai seorang penulis blog yang hebat, anda harus bijak menangani mitos-mitos ini daripada masuk ke dalam fikiran dan menghantui tindakan harian anda.

Kredit foto: H is for Home.

The following two tabs change content below.

Zulhilmi Zainudin

Pereka grafik & pembangun laman web at Zulh Freelancer(tm)
Mempunyai kepakaran di dalam bidang rekaan grafik dan pembangunan laman web berasaskan sistem WordPress. Pengasas projek Bina Blog Dot Com Sendiri.

Label: , ,