7 Sebab Kenapa Anda Perlu Pilih WordPress Sebagai Sistem Blog Anda | Bina Blog Dot Com Sendiri

7 Sebab Kenapa Anda Perlu Pilih WordPress Sebagai Sistem Blog Anda

7-sebab-kenapa-anda-perlu-pilih-wordpress-sebagai-sistem-blog-anda
Dunia yang semakin terbuka luas hari ini telah menyaksikan kepada kita pelbagai platform komunikasi dibina untuk menghubungkan kita semua dengan lebih dekat. Salah satu daripadanya adalah sistem pengurusan blog.

Namun begitu, tidak semua sistem ini boleh menjanjikan pengalaman penggunaan (user experience) yang baik. Hari ini kita akan lihat beberapa ciri menarik yang ada pada sistem WordPress berbanding sistem-sistem lain.

#1 – 100% Percuma

Melalui WordPress, anda boleh memasang seberapa banyak laman web dan blog tanpa membayar apa-apa yuran. Perkara ini adalah kerana WordPress ialah salah satu daripada sistem pengurusan kandungan (CMS) berasaskan lesen sumber terbuka (open source) yang dibangunkan oleh para pembangun daripada seluruh dunia yang secara rela menyumbangkan tenaga dan masa mereka untuk projek ini.

#2 – Mudah Dipasang

Sistem WordPress boleh dipasang dengan kedua kaedah. Yang pertama, melalui skrip pemasangan yang telah disediakan oleh syarikat web hosting. Dan, cara kedua adalah dengan memuatnaik fail sistem WordPress ke pelayan (server) anda, membina dan menghubungkan pangkalan data (database) dan beberapa langkah mudah.

Proses pemasangan WordPress tidak memerlukan anda untuk mengetahui mana-mana bahasa pengaturcaraan (programming). Cukup sekadar tahu menggunakan perisian Notepad, anda sudah boleh bermula sebagai pentadbir blog WordPress.

#3 – Lesen Bebas

Melalui WordPress juga, rangka kerja (framework) utamanya dilesenkan di bawah GPL (General Public License). Melalui GPL, anda bebas untuk mengubah atau menambah mana-mana bahagian pada struktur rangka kerjanya bagi memenuhi keperluan anda. Setiap perubahan yang dilakukan, anda tidak perlu membayar apa-apa royalti kepada pihak pembangun.

#4 – Sokongan Tambahan Yang Banyak

Proses pembangunan tema sesebuah laman web dan blog bukan merupakan satu proses yang mudah. Melalui WordPress, anda boleh menggunakan tema-tema percuma dan plugins percuma yang dibangunkan oleh para pembangun bebas daripada seluruh dunia. Komponen-komponen seperti ini boleh membantu anda menjimatkan masa dan kos permulaan.

#5 – Dokumentasi Yang Baik

Melalui halaman yang dikenali sebagai Codex, anda boleh membaca dan memahami secara lebih mendalam bagaimana sistem WordPress berfungsi. Perkara ini sangat mustahak terutamanya jika anda mahu membangunkan tema atau plugins sendiri kelak.

#6 – 10 Tahun Dalam Pasaran

Bermula pada tahun 2003, WordPress semakin diterima dalam kalangan pemilik dan pentadbir blog. Justeru, situasi ini secara tidak langsung menjemput lebih ramai pengguna dan pembangun bebas dari luar untuk mencuba dan sama-sama memberi idea dan membangunkan sistem ini ke tahap yang lebih baik dari masa ke masa.

#7 – Komuniti Besar, Aktiviti & Sokongan

Berkait dengan poin di atas, WordPress mempunyai kumpulan peminatnya yang tersendiri. Hasil daripada perkongsian minat ini, banyak aktiviti perjumpaan dilakukan seperti persidangan yang dikenali sebagai WordCamps dalam kalangan peminatnya. Melalui aktiviti seperti ini, sesi bual bicara dan lontaran idea secara terbuka untuk memantapkan lagi sistem boleh diadakan antara pengguna dan kumpulan pembangun utama WordPress.

***

Kesimpulannya, WordPress mempunyai kelebihannya yang tersendiri sebagai salah satu sistem pengurusan web. Sebagai pengguna, anda bebas untuk menggunakan apa jua platform bergantung kepada tahap keselesaan anda dengan sesebuah sistem itu dan kebolehupayaan sistem memenuhi segala keperluan anda.

Kredit foto: thatcanadiangirl.

The following two tabs change content below.

Zulhilmi Zainudin

Pereka grafik & pembangun laman web at Zulh Freelancer(tm)
Mempunyai kepakaran di dalam bidang rekaan grafik dan pembangunan laman web berasaskan sistem WordPress. Pengasas projek Bina Blog Dot Com Sendiri.

Label: , ,