7 Sebab Kenapa Web Hosting Percuma Tidak Bagus Untuk Anda | Bina Blog Dot Com Sendiri

7 Sebab Kenapa Web Hosting Percuma Tidak Bagus Untuk Anda

7-sebab-kenapa-web-hosting-percuma-tidak-bagus-untuk-anda
Seperti yang telah kita sedia maklum, akaun web hosting merupakan salah satu keperluan wajib bagi sebuah blog WordPress.

Melalui akaun web hosting ini, data-data berkaitan dengan blog kita akan disimpan dan akan dipaparkan kepada pengunjung blog melalui beberapa proses.

Namun begitu, persoalan memilih web hosting percuma dan berbayar adalah antara soalan yang sering membelenggu para pemilik blog baharu.

Mereka tidak pasti sama ada web hosting percuma benar-benar mampu memberikan apa yang mereka perlukan ataupun tidak.

Di dalam artikel kali ini, saya akan kongsikan 7 perkara berkaitan dengan web hosting percuma. Semoga ianya boleh membantu anda membuat pilihan yang lebih bijak kelak.

#1 – Ruang Simpanan Data Terhad

Syarikat yang menawarkan web hosting percuma mempunyai fasiliti yang terhad. Mereka mempunyai pengguna yang ramai.

Oleh yang demikian, mereka hanya membenarkan satu ruang yang kecil sahaja untuk setiap pengguna bagi tujuan penyimpanan data.

#2 – Had Penggunaan Data Terhad

Had penggunaan data atau lebih dikenali dengan istilah ‘bandwidth’ juga berkaitan dengan ruang simpanan di atas.

Syarikat web hosting percuma ini mengehadkan penggunaan data bagi setiap akaun pengguna bagi memastikan pelayan (server) mereka tidak menghadapi masalah atas sebab terlalu banyak trafik (pelawat) diterima dalam satu-satu masa.

#3 – Tempoh Aktif Tidak Terjamin

Apabila bercakap mengenai penggunaan data dan trafik yang tinggi, sudah semestinya kita akan melihat kepada kemampuan pelayar (server) yang memproses setiap permintaan pengunjung.

Pada kebiasaannya, pelayan (server) yang digunakan untuk akaun percuma adalah yang mempunyai spesifikasi yang rendah.

Potensi untuk pelayan (server) ini ‘down’ sangat tinggi jika ianya tidak mampu memproses permintaan pengunjung dengan cekap pada satu-satu masa.

#4 – Panel Kawalan Tidak Mesra Pengguna

Panel kawalan komersial yang sering digunakan pada akaun web hosting hari ini adalah cPanel. Berbeza dengan akaun web hosting percuma, anda hanya diberikan panel kawalan khas yang pada pendapat saya, amat sukar untuk difahami bagi seorang pemula.

Anda mungkin menghabiskan terlalu lama masa untuk memahami dengan lebih terperinci panel kawalan ini berbanding cPanel yang bersifat mesra pengguna.

#5 – Tiada Sokongan Khidmat Pelanggan

Sokongan khidmat pelanggan adalah antara keperluan yang wajar dipertimbangkan bagi anda.

Bayangkan anda menghadapi masalah teknikal berkaitan dengan blog WordPress anda dan pada ketika itu, anda tidak tahu bagaimana untuk memperbaikinya.

Sudah pasti anda akan berasa sangat kecewa dan berputus asa untuk terus berblogging bukan?

#6 – Berkongsi Ruang Dengan Ratusan Laman Web Spam

Akaun web hosting percuma merupakan rezeki yang paling disukai oleh spammers.

Mereka menggunakannya untuk membina laman web spam dan memasang skrip-skrip jahat.

Kesan daripada perkongsian ruang ini, usaha SEO pada blog yang sedang anda lakukan berkemungkinan besar terjejas dan tidak membawa apa-apa pulangan seperti yang diharapkan kerana enjin pencari seperti Google sudah pasti tidak mahu memberi risiko kepada pengguna mereka.

#7 – Tiada Perisian Dan Skrip Tambahan

Majoriti akaun web hosting berbayar datang dengan beberapa perisian dan skrip terbina bagi memudahkan pengguna memasang dan membina laman web berdasarkan modul-modul tertentu.

Berbeza dengan akaun web hosting percuma, anda tidak akan menerima perkara ini. Segalanya perlu anda lakukan sendiri dan ini mungkin menjadi satu masalah jika anda tidak mempunyai kemahiran teknikal yang tinggi.

***

Kesimpulannya, akaun web hosting percuma mempunyai banyak kekurangan. Saya amat menyarankan anda agar mempertimbangkan akaun web hosting berbayar kerana akaun web hosting berbayar menjanjikan lebih nilai buat anda.

Kredit foto: Tim Dorr.

The following two tabs change content below.

Zulhilmi Zainudin

Pereka grafik & pembangun laman web at Zulh Freelancer(tm)
Mempunyai kepakaran di dalam bidang rekaan grafik dan pembangunan laman web berasaskan sistem WordPress. Pengasas projek Bina Blog Dot Com Sendiri.

Label: , ,