7 Tips Memilih Web Hosting Terbaik Untuk Blog WordPress Anda | Bina Blog Dot Com Sendiri

7 Tips Memilih Web Hosting Terbaik Untuk Blog WordPress Anda

7-tips-memilih-web-hosting-terbaik-untuk-blog-wordpress-anda
Jika sebelum ini kita sudah mengetahui keperluan-keperluan asas sebuah blog, kali ini kita akan berbincang pula dengan lebih lanjut mengenai web hosting.

Seperti yang anda sedia maklum, web hosting akan bertindak sebagai ‘rumah’ di mana melaluinya, data-data laman web atau blog kita akan disimpan. Apabila kita menerima pelawat, pelayan (server) kita ini akan menyediakan kandungan tertentu kepada pelawat tersebut.

Di dalam artikel ini, saya akan kongsikan dengan anda, 7 tips memilih akaun web hosting terbaik untuk anda gunakan sebagai ‘tapak’ blog WordPress anda. Mari kita mulakan!

#1 – Ruang Storan Yang Mencukupi

Ruang storan (web space) pada akaun web hosting sama sahaja seperti ruang storan pada komputer kita. Jika komputer kita mempunyai cakera keras seperti Local Disk untuk menyimpan data-data kita, pelayan (server) juga mempunyai keupayaan yang sama.

Setiap akaun web hosting mempunyai ruang storan yang berbeza-beza. Ada yang kecil, sederhana dan juga besar. Jika blog anda kelak akan mempunyai banyak fail media seperti foto, audio dan video, maka anda perlu memilih ruang storan yang lebih besar.

Namun, jika anda tidak bercadang untuk meletakkan banyak fail media dan mahu lebih kandungan berbentuk teks, maka akaun web hosting berkapasiti kecil sudah memadai buat anda.

#2 – Had Penggunaan Data Yang Sepadan

Seterusnya, anda juga perlu melihat pada had penggunaan data yang ditawarkan untuk setiap akaun hosting. Had penggunaan data (bandwidth) di sini bermaksud, jika akaun web hosting anda meletakkan syarat 1000MB data sebulan, maka jika blog anda bersaiz 1MB, anda hanya boleh menerima 1000 pelawat sahaja sebulan.

1000 pelawat x 1MB = 1000MB data digunakan / bulan.

Jadi, anda harus melakukan kerja kira-kira sebelum memiliki sebuah akaun web hosting.

Pastikan anda memilih pakej yang betul kerana jika had ini habis digunakan, maka pelawat web anda sudah tidak boleh melihat blog anda sehinggalah had penggunaan data ini kembali kepada kosong semula pada awal bulan berikutnya.

#3 – Panel Kawalan cPanel

Bercakap mengenai panel kawalan, bayangkan sistem operasi komputer kita. Ada dalam kalangan kita menggunakan Windows, Mac OS X dan juga Linux.

cPanel adalah salah satu sistem pengurusan akaun web hosting paling popular di dunia di mana melaluinya, anda sebagai pentadbir boleh melakukan pelbagai perkara dengan mudah seperti:

  • Menambah/mengubah/memadam pangkalan data.
  • Menambah/mengubah/memadam fail-fail media.
  • Melihat statistik dan data pelawat.
  • Menguruskan [email protected] anda sendiri.
  • Menguruskan domain-domain tambahan.

cPanel juga sering digunakan di dalam tutorial-tutorial berkaitan dengan pengurusan laman web dan blog di Internet. Jadi, anda dengan mudah boleh mengikut pelbagai tutorial ini dan mencubanya sendiri pada akaun web hosting anda dalam ‘persekitaran’ yang serupa.

Mudah ikut, mudah faham, mudah hadam, mudah ingat.

#4 – Tempoh Aktif Yang Tinggi

Mungkin anda sudah biasa mendengar perkataan ‘server down’ sebelum ini bukan? Untuk pengetahuan anda, sesebuah pelayan (server) yang baik adalah pelayan (server) yang mampu beroperasi 24 jam sehari tanpa masalah ‘down’ ini.

Istilah uptime sering digunakan bagi menggambarkan tempoh aktif sesebuah pelayan (server) itu. Oleh itu, pastikan anda memilih akaun web hosting yang mempunyai ‘uptime’ yang tinggi.

#5 – Menyokong Sistem WordPress

Pastikan juga akaun web hosting anda menepati keperluan asas sebuah blog WordPress ini. Ini kerana, jika anda tersilap membeli akaun web hosting, besar kemungkinan akaun anda akan ditamatkan oleh penyedia web hosting.

Berdasarkan pengalaman saya berurusan dengan para penyedia web hosting tempatan, pelayan (server) mereka sedia menyokong pemasangan sistem blog WordPress ini. Jadi, anda tidak perlu terlalu risau akan hal ini.

#6 – Sokongan Domain & Pangkalan Data Tambahan

Bagi anda yang bercadang untuk mempunyai lebih daripada satu blog atau laman web lain dan mahu kekal menggunakan satu akaun web hosting, ciri Add-On Domain pasti membantu anda.

Melalui ciri Add-On Domain ini, data blog-blog anda akan berada pada satu lokasi yang sama.

Sebagai contoh, jika blog anda sebelum ini (blogpertama.com) menggunakan akaun hosting yang anda gunakan sekarang, blog baru anda pula (blogbaru.com) juga boleh berkongsi pelayan (server) yang sama.

Pastikan juga ciri Pangkalan Data Tambahan ada. Ini bagi memastikan anda boleh menambah beberapa pangkalan data MySQL selepas ini bagi tujuan pemasangan blog WordPress anda.

#7 – Sokongan Khidmat Pelanggan 24/7

Berdasarkan pengalaman saya, antara sebab utama kenapa penyedia web hosting terbaik tempatan mahupun antarabangsa mempunyai harga yang sedikit tinggi adalah kerana mereka mempunyai kumpulan sokongan khidmat pelanggan yang bersiap sedia 24/7 untuk anda.

Mereka ini mempunyai kepakaran tersendiri dalam menangani masalah-masalah berkaitan dengan pelayan (server) yang anda gunakan dan mereka akan membantu anda dengan pantas sejurus anda menghubungi mereka.

Berbeza dengan penyedia web hosting ekonomi, mereka hanya ada pada sebelah pagi dan petang, hari bekerja sahaja. Jadi, jika blog anda mempunyai masalah pada sebelah malam hari atau pun pada hujung minggu, anda perlu menunggu bantuan kumpulan teknikal ini lebih lama.

***

Kesimpulannya, anda sebagai seorang pemilik blog harus bijak memilih akaun web hosting yang terbaik bagi memastikan blog anda boleh berfungsi dengan baik dan anda sebagai pelanggan mereka, benar-benar berpuas hati dengan pelaburan wang yang telah anda letakkan.

Kredit foto: sugree.

The following two tabs change content below.

Zulhilmi Zainudin

Pereka grafik & pembangun laman web at Zulh Freelancer(tm)
Mempunyai kepakaran di dalam bidang rekaan grafik dan pembangunan laman web berasaskan sistem WordPress. Pengasas projek Bina Blog Dot Com Sendiri.

Label: , , ,