7 Tips Untuk Menjadikan Blog Anda Lebih Kemas | Bina Blog Dot Com Sendiri

7 Tips Untuk Menjadikan Blog Anda Lebih Kemas

7-tips-untuk-menjadikan-blog-anda-lebih-kemas

Salah satu aspek yang semakin ditekankan dalam prinsip User Experience yang baik adalah menyediakan persembahan kita dalam keadaan yang kemas.

Dalam blogging, persembahan seorang penulis blog itu adalah artikel yang ditulis olehnya dan desain blognya secara keseluruhan.

Adalah penting untuk kita mempunyai sebuah blog yang kemas agar pembaca blog kita selesa untuk berada lebih lama di blog kita. Ianya memberi banyak kelebihan kepada kita termasuk boleh menurunkan bounce rate blog kita.

Blog Cantik VS Blog Kemas

Saya tertarik dengan soalan yang diajukan oleh saudara Naim di dalam artikel sebelum ini yang bertanyakan pendapat saya tentang blog yang tidak cantik.

Pada pendapat saya, blog cantik dan blog kemas adalah dua perkara yang berbeza. Blog cantik tidak semestinya kemas. Dan blog kemas tidak semestinya terlalu cantik.

Lihat sahaja blog-blog yang pernah kita lawati sebelum ini. Ada yang mempunyai header yang cantik, tetapi elemen-elemen lain diabaikan.

Penulis blog yang kemas pula sudah faham tentang perkara-perkara asas yang perlu ditekankan untuk memberikan kepuasan kepada pembaca blog. Golongan pemilik blog jenis ini biasanya sudah lama menulis blog.

Yang Mana Perlu Dipilih: Blog Cantik Atau Blog Kemas?

Saya suka untuk memilih pendekatan ‘blog kemas’ terlebih dahulu. Tahap ‘cantik’ itu boleh dibina secara berperingkat selepas kita mencapai tahap ‘kemas’.

Tambahan, kos untuk memiliki sebuah blog yang cantik DAN kemas adalah tinggi dan biasanya belum mampu diperolehi oleh seorang yang baru berblogging.

Tetapi, proses untuk menjadikan blog kita kemas itu lebih mudah dan tidak perlu banyak kos. Ianya mudah dan ringkas sahaja.

7 Tips Menjadikan Blog Lebih Kemas

Mari kita lihat beberapa tips yang boleh diamalkan untuk menjadikan blog kita lebih kemas di mata pembaca.

#1 – Header Yang Ringkas

Menjadi kesilapan ramai penulis blog baru adalah apabila mereka mengabaikan header blog mereka. Ini biasanya berlaku pada blog berbentuk Blogspot yang kebanyakkan daripada template-nya mempunyai ruang header yang besar.

Mereka gemar untuk meletakkan perkara-perkara yang tidak penting pada bahagian ini. Dalam proses penjenamaan sesebuah blog, header yang ringkas boleh membantu.

Jika blog mempunyai logo, gunakan logo sebagai header blog sudah cukup memadai. Sebaliknya, jika tidak mempunyai logo, gunakan header yang mempunyai grafik nama blog dan objektif utama blog kita.

Contohnya, jika Siti mempunyai blog yang sering berkongsi resepi masakan tempatan, apa yang boleh Siti lakukan adalah menggunakan gambar-gambar masakannya dan meletakkan teks ‘Blog Siti – Resepi Masakan Tempatan’ pada header tersebut. Ringkas.

#2 – Warna Latar Belakang Yang Minimal

Trend menggunakan background blog daripada pattern-pattern grafik sudah lama bermula. Trend popular adalah seperti Polka Dot, Zig Zag, Flower dan pelbagai macam lagi.

Jika digunakan pada blog peribadi, ianya tiada masalah. Namun, jika ianya digunakan pada blog-blog yang tujuan utamanya untuk berkongsi maklumat dengan ramai pembaca, trend ini sudah tidak lagi sesuai.

Trend background laman web dan blog moden hari ini adalah menggunakan bilangan warna yang minimum sahaja. 1-2 warna sahaja. Apa yang lebih penting pada blog bukan pada latar belakangnya, tetapi kandungannya.

Latar belakang hanya membantu penampilan keseluruhan blog kita sahaja.

#3 – Tulisan Yang Mudah Dibaca

Trend lain dalam berblogging adalah menggunakan tema blog yang mempunyai terlalu banyak jenis tulisan (font) yang berbeza. Menurut pakar, sesebuah desain yang baik adalah yang menggunakan jenis tulisan yang sedikit sahaja.

Selain itu, adalah penting untuk kita menggunakan jenis tulisan yang mudah dibaca. Bukan nampak cantik semata-mata. Ini kerana, yang membaca blog kita bukan orang-orang seperti kita. Pembaca blog kita datang dari pelbagai jenis latar belakang.

Oleh itu, gunakan pendekatan mudah dengan menggunakan jenis tulisan (font) yang bersifat ‘universal’ seperti menggunakan tulisan Arial sebagai jenis tulisan utama pada blog kita.

#4 – Tulisan & Latar Belakang Yang Kontra

Selain itu, pilih set tulisan dan latar belakang yang bersesuaian. Sebagai contoh, jika latar belakang sudah berwarna terang, gunakan warna tulisan yang gelap. Kombinasi mudahnya seperti blog putih yang menggunakan tulisan hitam.

Elakkan menggunakan tulisan dan latar belakang sewarna seperti latar belakang bewarna coklat, tulisan hitam atau latar belakang putih, tulisan kuning cair.

#5 – Navigasi Yang Mudah

Apa yang dikatakan dengan ‘navigasi yang mudah’ termasuk navigasi utama (pada atas dan bawah blog) serta navigasi sokongan pada sidebar dan bahagian-bahagian lain pada blog yang mudah dilihat oleh pembaca.

Elakkan kumpulan pautan pada sidebar yang terlalu dekat antara satu sama lain. Berikan ruang yang secukupnya pada setiap pautan-pautan ini bagi memudahkan pembaca untuk klik padanya.

#6 – Bahagian Khas Untuk Iklan

Selain itu, kita juga boleh memilih untuk menggunakan satu ruang khas pada blog kita untuk iklan sahaja. Elakkan daripada meletakkan iklan di merata tempat pada blog kita. Ianya nampak serabut dan tidak kemas.

Sebaik-baiknya, lokasi terbaik untuk meletakkan iklan adalah pada bahagian Sidebar blog kita. Bahagian ini mudah dilihat oleh pembaca. Bukan dalam artikel blog di mana mereka tidak fokus untuk lihat iklan kita, sebaliknya terus membaca artikel kita dan abaikan iklan kita.

#7 – Gambar Pada Saiz Penuh

Seperkara lagi, masukkan gambar-gambar pada saiz optimum ruang artikel blog kita. Jika ruang artikel kita mempunyai lebar 500px, letakkan gambar yang mempunyai lebar yang sama iaitu 500px.

Elakkan gambar yang terlalu kecil sehingga menyukarkan pembaca untuk melihat gambar kita secara keseluruhannya.

Selain mencari gambar menggunakan enjin carian secara terus, anda juga boleh gunakan laman web yang menyediakan gambar berkualiti secara percuma. Sebaik-baiknya, gunakan gambar yang boleh memberi kesan emosi kepada pembaca blog kita.

***

Kesimpulannya, proses untuk menjadikan blog kita kemas itu mudah sahaja. Tidak perlu jadi seorang pereka grafik. Cukup sekadar kita tahu dan jelas prinsip-prinsip asasnya sahaja.

P/S: Anda belajar sesuatu? Kongsi artikel ini dengan rakan-rakan anda. Klik Like, Tweet atau +1 di bawah artikel untuk berkongsi.

Kredit foto: baldiri.

The following two tabs change content below.

Zulhilmi Zainudin

Pereka grafik & pembangun laman web at Zulh Freelancer(tm)
Mempunyai kepakaran di dalam bidang rekaan grafik dan pembangunan laman web berasaskan sistem WordPress. Pengasas projek Bina Blog Dot Com Sendiri.

Label: , ,