Apa Itu Exact Match Domain & Apa Kaitannya Dengan SEO? | Bina Blog Dot Com Sendiri

Apa Itu Exact Match Domain & Apa Kaitannya Dengan SEO?

apa-itu-exact-match-domain-apa-kaitannya-dengan-seo

Bagi anda yang bercadang mahu membina bina blog bisnes, mungkin anda sering menghabiskan masa terlalu lama untuk mendapatkan nama domain yang bersesuaian untuk blog bisnes anda bukan?

Dalam konteks SEO, pemilihan nama domain memberikan kesan kepada jatuh naik kedudukan laman web dan blog kita. Justeru, faktor pemilihan nama domain ini harus dipandang serius.

Dalam artikel kali ini, kita akan lihat tentang satu jenis nama domain – Exact Match Domain.

Apa Itu Exact Match Domain?

Exact Match Domain (EMD) merupakan nama domain yang mengandungi kata kunci di dalamnya. Sebagai contoh, Tuan Ali merupakan seorang usahawan internet yang menjual baju muslimah secara online.

Oleh itu, jika Tuan Ali mendapatkan nama domain seperti ‘BajuMuslimah.com‘ atau ‘BajuMuslimahOnline.com‘, ianya adalah EMD. Tetapi, jika ianya mengandungi tanda sempang ( – ) seperti ‘Baju-Muslimah.com‘, ianya tidak dikira sebagai EMD.

Kebaikan Exact Match Domain

Antara kelebihan menggunakan EMD adalah:

  1. Kelihatan berautoriti: sebagai seorang pengguna Internet biasa yang menggunakan perkhidmatan enjin carian seperti Google, kita cenderung untuk melihat URL laman web yang keluar di halaman keputusan carian. Apabila kita melihat salah satu daripada laman web tersebut mempunyai kata kunci yang kita cari, ianya boleh meningkatkan kepercayaan kita terhadap laman web atau blog tersebut.
  2. Potensi pelawat secara spontan: selain itu, terdapat juga golongan pengguna Internet yang selesa menaip terus apa yang mereka mahu beli di ‘address bar’ pelayar web mereka. Contohnya, Siti akan menaip terus ‘BajuMuslimah.com‘ di pelayar webnya jika dia tidak mahu menggunakan khidmat Google. Dalam situasi ini, Tuan Ali menerima manfaat yang besar hasil daripada lawatan Siti ke laman webnya – terima kasih EMD.
  3. Mudah diingati pelawat: oleh kerana EMD ini biasanya pendek (2-3 patah perkataan sahaja) dan tergolong daripada kosa kata yang selalu digunakan dalam kehidupan seharian, ianya akan lebih mudah untuk diingati oleh para pelawat laman web dan blog kita.

Kekurangan Exact Match Domain

Namun begitu, EMD ini juga mempunyai banyak kekurangannya. Antaranya adalah:

  1. Terhad: kebanyakkan EMD bagi produk-produk popular di pasaran sudah tidak lagi tersedia untuk dibeli. Ini kerana ianya sudah dimiliki oleh pemain-pemain SEO sebelum ini untuk pelbagai tujuan. Jika anda berjaya mendapatkan satu EMD, anda begitu bertuah.
  2. Mahal: oleh kerana terhad, ianya juga ditawarkan pada kadar yang tinggi dan agak mustahil bagi pemilik laman web dan blog baru untuk mendapatkan EMD yang begitu ‘hot’ di pasaran. Melainkan anda mempunyai agensi yang bermodal besar untuk dilaburkan pada satu nama domain.
  3. Sudah tidak begitu ‘ampuh’: satu ketika dahulu ketika era awal kewujudan Internet dan enjin carian, rata-rata pemilik laman web menggunakan EMD untuk menjemput trafik secara mudah ke laman web dan blog. Ianya memang berkesan. Namun, pada hari ini, perkara ini sudah tidak lagi berlaku. Saya menulis lebih panjang berkaitan ini di bawah.

Apa Kata Google Tentang Exact Match Domain?

Oleh kerana sudah begitu banyak ‘permainan’ yang dicetuskan sendiri oleh pemain-pemain SEO, Google hari ini telah bertindak mengeluarkan EMD Update yang mana mereka telah mengurangkan kuasa yang telah diberi kepada EMD sebelum ini.

Jadi, Sudah Tidak Boleh Guna EMD Untuk SEO?

Perkara ini menjadi perdebatan dalam kalangan pengamal SEO. Pada fikiran saya, EMD masih membawa nilai positif jika kita sebagai pemilik laman web dan blog tidak menggunakannya sebagai satu-satunya alat untuk mempersendakan enjin carian dan penggunanya.

Apa yang lebih penting dalam SEO adalah prinsip utamanya iaitu: kandungan yang berkualiti, disukai pembaca dan membawa identiti jenama. Berikan lebih banyak fokus kepada usaha pembinaan jenama dan SEO itu akan datang secara berperingkat.

***

Kesimpulannya, Exact Match Domain (EMD) merupakan salah satu jenis nama domain yang telah digunakan sejak sekian lama di Internet. Kita mungkin perasan dan mungkin juga tidak perasan akan kewujudan nama domain seperti ini. Gunakan EMD sebaik mungkin dan jangan jadikannya alat tunggal untuk menguasai SEO.

Kredit foto: Mikko Lautamäki.

The following two tabs change content below.

Zulhilmi Zainudin

Pereka grafik & pembangun laman web at Zulh Freelancer(tm)
Mempunyai kepakaran di dalam bidang rekaan grafik dan pembangunan laman web berasaskan sistem WordPress. Pengasas projek Bina Blog Dot Com Sendiri.

Label: , , , ,