Apa Itu Masalah 'Pogo Stick' & Bagaimana Cara Untuk Menyelesaikannya? | Bina Blog Dot Com Sendiri

Apa Itu Masalah ‘Pogo Stick’ & Bagaimana Cara Untuk Menyelesaikannya?

apa-itu-pogo-stick

Jika sebelum ini kita suda tahu apa itu ‘Bounce Rate’, hari ini kita akan berkenalan pula dengan satu lagi terma baru dikenali sebagai masalah ‘Pogo Stick’.

Mungkin bunyi agak janggal bagi anda. Saya pun rasa begitu apabila mula mendengar perkataan ini. Apatah lagi untuk menggambarkan apakah sebenarnya maksud disebalik istilah ini.

Memahami Masalah ‘Pogo Stick’

Enjin carian Google sering menjadi pilihan apabila kita mahu membuat apa-apa carian di Internet. Setiap halaman keputusan carian (ringkasnya dipanggil sebagai ‘SERP‘), kita akan melihat 10 keputusan (laman web atau blog) berdasarkan kata kunci yang kita gunakan.

Daripada 10 keputusan ini, kita mungkin akan klik pada 1-2 pautan sahaja.

Jika laman web atau blog pertama menjawab soalan kita, kita akan berada lebih lama di laman web atau blog tersebut.

Sebaliknya, jika laman web atau blog yang kita klik itu tidak menjawab soalan kita dan tidak berkualiti, kita akan tutup cepat-cepat laman web atau blog itu dan lihat pada laman web kedua, ketiga dan seterusnya.

Betul?

Masalah di atas dikenali sebagai ‘Pogo Stick Problem‘ – kita akan kembali mencari dan membuka pautan-pautan lain di SERP sehingga menjumpai jawapan yang kita mahukan.

Kaitan Dengan Bounce Rate

‘Pogo Stick Problem’ ini sebenarnya berkait rapat dengan ‘Bounce Rate’ yang kita bicarakan sebelum ini. Semakin tinggi perkiraan purata Pogo Stick ini, semakin tinggi jugalah kadar Bounce Rate blog kita.

Dan, sama seperti Bounce Rate, semakin rendah nilainya, semakin baik.

Untuk memahami dengan lebih jelas, tonton video di bawah ini:

3 Tips Mudah Atasi Masalah ‘Pogo Stick’

Dalam video diatas, Rand Fishkin mencadangkan beberapa perkara untuk merendahkan masalah ini. Antaranya adalah:

1. Fahami Soalan & Masalah Pembaca

Apabila menulis blog, elakkan menulis dengan tujuan untuk mengejar SEO semata-mata. Sebaliknya, cuba sedaya upaya untuk ‘masuk’ ke dalam minda dan jiwa pembaca.

Dengan memahami kehendak mereka, kita boleh mengagak apakah perkara-perkara yang mungkin akan mereka cari di Internet kelak.

Tip: 5 Teknik Mudah Menulis Tajuk Artikel Bagi Menarik Perhatian Pembaca.

2. Fokus Pada Rekaan Yang Kemas

Arena Internet hari ini sudah semakin ringkas & minimalis. Namun begitu, ia masih mengekalkan elemen-elemen penting seperti maklumat yang padat dan susun atur yang kemas.

Oleh itu, pastikan tema blog yang sedang anda gunakan sekarang kemas dan ‘sedap mata memandang’. Elakkan terlalu banyak ‘pop-up’ & iklan banner yang boleh mengundang rasa tidak selesa pembaca blog anda.

Baca: Manusia suka akan ketenangan. Jika kita masuk ke satu tempat dan tempat itu ‘huru-hara’, kita akan rasa tidak selesa dan lari dari tempat itu cepat-cepat.

Tip: 7 Tips Untuk Menjadikan Blog Anda Lebih Kemas.

3. Lajukan Loading Time Blog

Bukan sahaja perkara ini semakin penting dalam aspek SEO, malah dalam bab ‘user experience’ juga semakin ditekankan. Perkara itu adalah ‘loading time’ blog kita.

Adalah penting untuk kita tahu sejauh mana kelajuan blog kita. Apabila kita tahu blog kita ‘slow’, kita boleh mengambil tindakan susulan bagi menambah baik ‘loading time’ blog kita.

Blog yang pantas diakses akan lebih digemari oleh pembaca.

Cuba sebaik mungkin untuk sediakan kandungan blog kita ke dalam peranti pembaca dalam tempoh 7 saat pertama selepas mereka tekan ‘Enter‘, ‘Go‘ atau klik pada pautan blog kita.

***

Kunci utama kepada penyelesaian masalah ‘Pogo Stick’ ini adalah RELEVAN. Itu sahaja.

Jangan penuhkan Google dengan kandungan SPAM. Semakin banyak anda menyusahkan pengguna Internet (dan Google), semakin dalam lubang yang anda gali untuk diri sendiri.

Kredit foto: Ash Berlin.

The following two tabs change content below.

Zulhilmi Zainudin

Pereka grafik & pembangun laman web at Zulh Freelancer(tm)
Mempunyai kepakaran di dalam bidang rekaan grafik dan pembangunan laman web berasaskan sistem WordPress. Pengasas projek Bina Blog Dot Com Sendiri.

Label: , ,