Apa Itu Web Hosting? | Bina Blog Dot Com Sendiri

Apa Itu Web Hosting?

apa-itu-web-hosting
Untuk membina sebuah blog dot com sendiri, anda mempunyai dua pilihan. Pilihan pertama adalah dengan menggunakan platform blog percuma seperti Blogger atau WordPress.com.

Seterusnya, dapatkan nama domain dot com yang bersesuaian dan hubungkan nama domain ini ke URL asal blog anda yang dihos pada sistem Blogger atau WordPress.com.

Pilihan kedua adalah dengan memasang sistem blog seperti WordPress pada pelayan (server) anda sendiri. Anda boleh dapatkan ruang pelayan ini atau selalu disebut sebagai akaun web hosting dengan menyewa daripada syarikat penyedia servis web hosting.

Apa Itu Web Hosting?


Web hosting merupakan ruang simpanan data web yang disimpan di dalam sebuah pelayan (server). Apabila blog anda menerima pelawat, data-data berkaitan blog anda akan dimuatkan pada komputer mereka melalui pelayar web.

Terdapat 3 jenis akaun web hosting yang sering menjadi pilihan bagi pemilik laman web dan blog. Setiap jenis akaun web hosting ini mempunyai kelebihan dan kekurangannya tersendiri.

#1 – Shared Hosting

Jenis ini adalah jenis paling popular di pasaran. Pelayan (server) untuk shared hosting ini mempunyai ratusan akaun di dalamnya. Setiap akaun ini dimiliki oleh setiap individu berlainan.

Kelebihan akaun jenis shared hosting ini adalah, kadar harganya yang rendah. Namun begitu, laman web dan blog anda berkongsi ruang dan kuasa pelayan bersama-sama ratusan laman web dan blog lain.

Ini bermakna, jika salah satu daripada ratusan laman web atau blog di dalam pelayan (server) yang sedang anda gunakan itu menerima pelawat yang begitu tinggi dan menggunakan kuasa pelayan (server) terlalu tinggi, besar kemungkinan laman web atau blog anda juga akan terjejas seperti gagal diakses dan sebagainya.

#2 – VPS Hosting

Seterusnya, masih berkonsepkan perkongsian. Namun, VPS hosting ini mempunyai had (bilangan) akaun yang tertentu sahaja. Bilangan akaun yang dibenarkan untuk setiap VPS hosting ini lebih kecil.

Justeru, laman web atau blog yang menggunakan VPS hosting ini akan berupaya untuk memproses lebih banyak permintaan (request) daripada pengguna Internet pada satu-satu masa memandangkan tidak terlalu banyak laman web atau blog dihoskan padanya.

#3 – Dedicated Server

Yang terakhir dalam keluarga web hosting adalah dedicated server. Melanggan dedicated server umpama mempunyai sebuah pelayan (server) sendiri. Segalanya tersedia untuk laman web dan blog anda sahaja. Tiada kongsi-kongsi lagi.

Dedicated server ini amat sesuai untuk laman web dan blog yang mempunyai pelawat yang begitu ramai dan menggunakan kuasa pelayan (server) yang begitu tinggi pada satu-satu masa. Juga sesuai untuk projek-projek berskala besar.

***

Kesimpulannya, ketiga-tiga jenis akaun web hosting ini mempunyai kelebihan dan kekurangannya tersendiri. Anda bebas memilih untuk menggunakan mana-mana jenis akaun yang disediakan bergantung kepada keperluan semasa.

Kredit foto: ramereth.

The following two tabs change content below.

Zulhilmi Zainudin

Pereka grafik & pembangun laman web at Zulh Freelancer(tm)
Mempunyai kepakaran di dalam bidang rekaan grafik dan pembangunan laman web berasaskan sistem WordPress. Pengasas projek Bina Blog Dot Com Sendiri.

Label: , ,