Mari Mengenal Jenis-Jenis Trafik Laman Web & Blog | Bina Blog Dot Com Sendiri

Mari Mengenal Jenis-Jenis Trafik Laman Web & Blog

jenis-jenis-trafik-laman-web-blog

Bagi anda yang telah memasang sistem Google Analytics pada laman web dan blog, mungkin anda tertanya-tanya apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan ‘direct traffic‘, ‘referral traffic‘, ‘campaign traffic‘ dan ‘organic traffic‘ bukan?

Google Analytics mengesan setiap pelawat yang datang ke laman web dan blog kita melalui ‘corong-corong’ tertentu menggunakan kaedah-kaedah tertentu yang telah ditetapkan.

Oleh itu, dalam artikel ini, kita akan belajar dan memahami dengan lebih lanjut tentang terma-terma ‘corong-corong’ trafik ini. Mari kita mulakan.

#1 – Direct Trafik: Taip Terus & Bookmark

Untuk ‘direct traffic’, ia bermaksud begini. Bayangkan kita suka benar akan satu blog ini. Boleh dikatakan, setiap hari kita akan lawat blog ini untuk membaca artikel-artikel terbarunya.

Setiap kali mahu melawat blog ini, kita akan taip sahaja URL blog tersebut pada address bar pelayar web kita. Kita sudah hafal URL blog ini dalam kepala.

Dalam situasi ini, kita menyumbang kepada ‘direct traffic’ bagi blog tersebut. Ianya adalah trafik langsung tanpa melalui sebarang medium lain.

Katakan pula kita bookmark blog tersebut dan bila mana kita mahu baca blog itu, kita klik sahaja pada bookmark bar pelayar web kita. Ini juga adalah kategori ‘direct traffic’.

#2 – Referral Traffic: Datang Dari Pihak Ketiga

Untuk ‘referral traffic’ pula, terdapat banyak contoh yang boleh saya berikan. Contoh paling mudah adalah seperti semasa kita melayari Facebook dan menonton video di YouTube.

Kita mungkin pernah klik pada mana-mana pautan dalam laman-laman ini yang mana membawa kita ke laman web atau blog yang lain selepas itu. Betul?

Atau, apabila kita membaca laman web atau blog lain, kita klik pada pautan di dalam artikelnya dan kita dibawa ke laman web dan blog yang lain pula.

Gambaran visual ringkasnya seperti berikut:

Blog A (kita baca & klik pautan) → Blog B (kita dibawa ke sini melalui Blog A)

Jadi, dalam situasi di atas, Blog B menerima ‘referral traffic’ daripada Blog A. Ianya adalah trafik rujukan atau trafik sokongan yang datang daripada pihak ketiga.

Semakin popular laman itu, semakin besar potensi kita menerima trafik daripadanya.

#3 – Campaign Traffic: Iklan Yang Spesifik

Baik, untuk ‘campaign traffic’ pula, ia banyak digunakan oleh jenama-jenama untuk melakukan kempen pemasaran mereka. Salah satu medium yang selalu digunakan adalah seperti Google Adwords.

Melalui Google Adwords, mereka memasang iklan-iklan tertentu dan apabila kita klik pada iklan-iklan ini di Google (semasa membuat carian), kita menyumbang kepada ‘campaign traffic’.

Contoh lain pula seperti URL yang di-tag dengan parameter-parameter khas seperti berikut:

http://www.binablogdotcomsendiri.com/?utm_source=newsletter&utm_medium=email&utm_campaign=november-2013

Jika diperhatikan pada URL di atas, terdapat 3 parameter khas iaitu: utm_source, utm_medium & utm_campaign.

URL ini tetap membawa pelawat ke halaman utama Bina Blog Dot Com Sendiri. Cuma, bezanya adalah, ia telah di-tag dengan parameter-parameter ini untuk tujuan ‘tracking’ yang lebih jelas. Kita akan belajar tentang ini dalam artikel akan datang.

#4 – Organic Traffic: Trafik Daripada Carian di Google (SEO)

Dan yang terakhir adalah, ‘organic search’. Corong trafik ini adalah corong yang paling disukai oleh mereka yang meminati ilmu SEO.

Ini kerana, sumber trafik ini datangnya daripada halaman keputusan carian enjin carian utama seperti Google, Yahoo! dan Bing.

Bayangkan jika kita berjaya berada pada kedudukan paling atas untuk sesuatu kata kunci, sudah semestinya kita akan menerima begitu banyak trafik percuma setiap hari hanya melalui corong trafik ini sahaja. Seronok bukan?

***

Kesimpulannya, trafik (pelawat) yang masuk ke laman web dan blog kita boleh diklasifikasikan kepada 4 jenis:

  • Direct traffic
  • Referral traffic
  • Campaign traffic
  • Organic traffic

Untuk berjaya dalam blogging, kita perlu bijak menggunakan corong-corong trafik ini untuk menjemput lebih ramai pembaca datang ke blog kita setiap hari.

Yang Mana Satu Pilihan Hati?

Setelah melihat 4 jenis trafik di atas, yang mana satu mahu anda fokuskan terlebih dahulu? Kongsikan di ruangan komen di bawah dan sertakan juga sebab-sebab kenapa anda memilih corong trafik tersebut.

Kredit foto: Shinichi Higashi.

The following two tabs change content below.

Zulhilmi Zainudin

Pereka grafik & pembangun laman web at Zulh Freelancer(tm)
Mempunyai kepakaran di dalam bidang rekaan grafik dan pembangunan laman web berasaskan sistem WordPress. Pengasas projek Bina Blog Dot Com Sendiri.

Label: , , , ,