Tutorial: Cara Memaparkan Imej Sendiri Sebagai Avatar Pada Bahagian Komen Blog
Bagi anda yang telah mula berblogging, mungkin anda pernah meninggalkan komen di blog rakan-rakan penulis blog lain dan mungkin anda tertanya-tanya kenapa ada dalam kalangan rakan-rakan lain, gambar mereka dipaparkan pada ruangan komen itu dan gambar anda tidak dipaparkan. Betul?
Hal ini terjadi kerana kebanyakkan blog berasaskan WordPress menggunakan sistem komen sedia ada yang didatangkan bersama-sama sistem WordPress itu sendiri.
WordPress menggunakan satu sistem khas untuk memaparkan gambar mereka yang meninggalkan komen di blog kita dinamakan sebagai Gravatar.
Sebelum kita bergerak ke bahagian tutorial, adalah lebih baik jika kita tahu serba sedikit tentang sistem Gravatar ini terlebih dahulu.
Bagaimana Gravatar Berfungsi?
Secara ringkas, berikut adalah gerak kerja sistem Gravatar yang diimplementasikan bersama-sama sistem komen blog WordPress:
- Kita masukkan alamat emel yang telah didaftarkan di Gravatar (akaun Gravatar ini sudah mempunyai gambar yang kita telah set).
- Sistem komen blog WordPress semak alamat emel tersebut di pangkalan data sistem Gravatar (jika ada dalam pangkalan data, sistem Gravatar akan ‘berikan’ imej avatar tersebut kepada blog WordPress tadi).
- Sistem komen blog WordPress menerima fail imej tersebut daripada sistem Gravatar dan memaparkan imej avatar pengirim komen seperti yang telah ditetapkan oleh pengirim komen melalui akaun Gravatar-nya.
Cara Mendaftar Akaun Gravatar – Cara Paparkan Avatar Kita Pada Bahagian Komen Blog Orang Lain
Baiklah. Anda sudah jelas bagaimana sistem Gravatar dan WordPress berinteraksi sebelum imej avatar seseorang berjaya dipaparkan pada blog-blog tertentu? Bagus!
Sebelum bermula, kita perlu mendaftarkan satu akaun di Gravatar terlebih dahulu. Jika anda sudah mempunyai blog WordPress.com sebelum ini, anda boleh log masuk menggunakan emel yang sama.
Langkah #1: Daftar Akaun Gravatar
Pada halaman ini, masukkan alamat emel anda, nama pengguna dan kata laluan. Kemudian, klik butang ‘Sign Up‘.
Langkah #2: Semak Emel & Sahkan Akaun
Seterusnya, semak peti masuk akaun emel anda tadi, dan klik pada pautan yang tersedia dalam emel yang dihantar oleh sistem Gravatar untuk mengesahkan akaun Gravatar anda.
Langkah #3: Log Masuk ke Sistem Gravatar
Seterusnya, klik pada butang ‘Sign In to Gravatar‘ untuk log masuk ke akaun Gravatar anda. Jika sistem meminta nama pengguna dan kata laluan, masukkan sahaja seperti yang telah anda masukkan semasa pendaftaran tadi.
Langkah #4: Mula Set Gambar Avatar
Apabila anda telah berjaya log masuk ke sistem Gravatar, klik pada pautan ‘Add one by clicking here!‘.
Langkah #5: Pilih Lokasi Gambar
Seterusnya, klik pada butang ‘My Computer’s Hard Drive‘.
Langkah #6: Muat Naik Gambar Anda
Kemudian, browse fail imej yang anda mahu gunakan dan klik pada butang ‘Next‘.
Langkah #7: Crop & Simpan
Setelah imej berjaya dimuat naik, anda boleh crop imej anda jika mahu. Jika tidak mahu dan berpuas hati dengan preview yang dipaparkan, klik saja butang ‘Crop and Finish!‘.
Langkah #8: Pilih Jenis Gravatar
Pada halaman ini, klik pada ‘rated G‘. Ini bermaksud, avatar anda berada dalam kategori Umum.
Langkah #9: Siap!
Tahniah! Anda kini sudah mempunyai gambar avatar sendiri. Lihat pada halaman utama sistem Gravatar dan anda akan lihat imej yang telah muat naik sebentar tadi.
Kini, apabila anda meninggalkan komen di blog-blog lain (khususnya blog berasaskan WordPress), gambar ini akan digunakan sebagai avatar dan bukan lagi gambar kartun dan sebagainya.
Cara Semak Gambar Avatar
Jika anda mahu menyemak gambar bagi setiap akaun Gravatar yang anda ada (satu akaun Gravatar, satu emel), anda boleh periksa di sini.
Langkah #1: Masukkan Emel Akaun Gravatar
Masukkan alamat emel dan klik pada butang ‘check‘.
Langkah #2: Maklumat & Gambar Avatar Dipaparkan
Jika emel tersebut berjaya dijumpai dalam pangkalan data Gravatar, maka sistem Gravatar akan memaparkan gambar avatar yang telah ditetapkan sebelum ini.
***
Kesimpulannya, proses untuk memaparkan gambar kita sendiri pada ruangan komen blog orang lain dan blog sendiri mudah sahaja. Hanya dengan membuka akaun di Gravatar, kita sekarang sudah boleh menunjukkan ‘identiti’ kita sebenar. Selamat mencuba!
Zulhilmi Zainudin
Latest posts by Zulhilmi Zainudin (see all)
- WordPress 5.0 — Apa Yang Baru? - 16/12/2018
- Berapa Pantas Web Anda Di Smartphone? Semak Sekarang Di Sini - 20/01/2017
- WordPress 4.7 Dilancarkan Secara Rasmi - 17/12/2016
Label: cara paparkan imej sendiri pada komen blog, cara pasang avatar pada blog wordpress, cara tunjukkan muka sendiri pada bahagian komen blog