Apa Itu Htaccess & Apa Kebaikannya Kepada Blog Anda? | Bina Blog Dot Com Sendiri

Apa Itu Htaccess & Apa Kebaikannya Kepada Blog Anda?

apa-itu-htaccess-apa-kebaikannya-kepada-blog-anda
Mungkin anda pernah sampai di mana-mana halaman laman web dan blog yang tidak membenarkan anda untuk akses masuk melihat kandungannya bukan? Untuk melihat kandungan disebaliknya, anda diminta untuk memasukkan kata laluan terlebih dahulu. Betul?

Ringkasnya, ‘sekatan’ yang anda hadapi itu datangnya daripada tetapan-tetapan dan arahan-arahan khas yang telah ditetapkan oleh si pemilik laman web dan blog melalui sebuah fail diberi nama ‘.htaccess‘.

Lokasi Fail Htaccess Di Dalam Pelayan

Kebiasaanya, fail ‘.htaccess’ ini berada pada ‘root folder‘ atau di dalam folder ‘public_html‘ akaun web hosting anda. Ini kerana, apabila seseorang pengguna melawat laman web anda, fail ‘.htaccess’ ini akan dicari terlebih dahulu daripada ‘root folder‘ ini dan jika terdapat tetapan atau arahan khas di dalamnya, pelayar akan menyekat akses anda dan tidak akan memaparkan kandungan sepatutnya melainkan anda mempunyai kata laluan untuk mengaksesnya.

Fungsi Fail Htaccess

Fail ‘.htaccess’ ini atau dikenali dengan ‘hypertext access file‘ mempunyai peranan utama untuk mengawal akses pengguna internet yang masuk melawat laman web dan blog kita.

Antara fungsi lain fail ‘.htaccess’ ini adalah:

1. Mengubah URL: Contohnya, jika seseorang pengguna itu masih belum mendaftar sebagai seorang ahli kepada sebuah forum, URL yang ditulis pada pelayarnya seperti ‘www.forum.com/kandungan-khas-untuk-ahli’ akan bertukar secara automatik ke ‘www.forum.com/daftar-ahli’.

2. Sekatan Pengguna: Mungkin anda telah berjaya mengesan IP mereka yang cuba menggodam laman web dan blog anda sebelum ini, dengan menggunakan beberapa baris arahan khas di dalam fail ‘.htaccess’, anda dengan mudah boleh menyekat mereka untuk akses ke laman web dan blog anda.

3. Kawalan Senarai Kandungan: Salah satu kesilapan pentadbir laman web dan blog adalah mendedahkan kandungan dan fail-fail lain di dalam akaun hosting secara terbuka. Hal ini boleh memberi kesan kepada keselamatan laman web dan blog anda. Oleh itu, melalui fail ‘.htaccess’ ini, anda boleh menutup senarai kandungan itu dengan mudah.

4. Ubah Halaman 404 Not Found: Apabila kita secara sengaja atau tidak sengaja memadamkan kandungan daripada laman web dan blog kita, mereka yang datang untuk melihat kandungan itu akan menerima mesej ‘404 Not Found’ yang ditulis di atas satu halaman putih yang ringkas sahaja. Melalui fail ‘.htaccess’, anda boleh mengubah ayat itu dan menggunakan halaman yang lebih cantik dan kemas.

5. Kawalan Cache: Cache adalah kandungan laman web dan blog yang disimpan pada komputer pembaca setelah mereka masuk melihat kandungan kita bagi mempercepatkan masa laman web dan blog kita dimuatkan semula apabila mereka datang semula ke laman web dan blog kita. Melalui fail ‘.htaccess’, anda boleh tetapkan beberapa perkara tertentu bagi memastikan kandungan yang akan di-cache di komputer pembaca kelak benar-benar tepat.

Bagaimana Mencipta Fail Htaccess?

Cara 1 (Menggunakan cPanel):

Bagi anda yang biasa dengan File Manager di dalam cPanel, anda boleh mencipta fail ini dengan klik pada ikon ‘New File’ dan masukkan ‘.htaccess’ (tanpa tanda ‘ ‘ dan bermula dengan titik noktoh di hadapan) apabila diminta oleh sistem cPanel.

Cara 2 (Menggunakan Notepad):

Bagi anda yang selesa menggunakan Notepad di komputer, tulis tetapan-tetapan khas terlebih dahulu pada satu dokumen Notepad kosong dan pilih Save As > .htaccess (letakkan titik noktah dihadapannya dan buang .txt di hujungnya jika ada).

Cara 3 (Menggunakan WordPress Plugin):

Atau, bagi anda yang menggunakan WordPress sebagai sistem pengurusan kandungan laman web dan blog anda, salah satu plugin yang boleh membantu anda mencipta dan mengubah fail ‘.htaccess’ dengan mudah adalah WP Htaccess Editor. Muat-turun dan muat-naik semula plugin ini untuk menggunakannya.

Nota:

Sebelum melakukan apa-apa perubahan pada fail ‘.htaccess’ sedia ada, sila lakukan salinan (backup) terlebih dahulu. Ini adalah langkah keselamatan buat anda jika perubahan yang anda lakukan selepas ini gagal atau tidak berjaya.

***

Kesimpulannya, fail ‘.htaccess’ ini mempunyai peranan utama dalam mengawal akses pengguna yang masuk ke laman web dan blog anda. Terdapat banyak lagi kelebihan fail ‘.htaccess’ ini dan kita akan melihatnya lebih banyak dalam artikel-artikel yang akan datang.

P/S: Anda belajar sesuatu? Kongsi artikel ini dengan rakan-rakan anda. Klik Like, Tweet atau +1 di bawah artikel untuk berkongsi.

Kredit foto: Steve Bridger.

The following two tabs change content below.

Zulhilmi Zainudin

Pereka grafik & pembangun laman web at Zulh Freelancer(tm)
Mempunyai kepakaran di dalam bidang rekaan grafik dan pembangunan laman web berasaskan sistem WordPress. Pengasas projek Bina Blog Dot Com Sendiri.

Label: , , ,