3 Kelebihan Utama Guest Blogging | Bina Blog Dot Com Sendiri

3 Kelebihan Utama Guest Blogging

kelebihan-guest-blogging
Guest blogging merupakan salah satu seni pemasaran blog yang menjadi pilihan para penulis berpengaruh masa kini untuk berkongsi pendapat mereka dengan lebih ramai pembaca dan menerima kelebihan daripada aktiviti ini secara langsung dan tidak secara langsung.

Melalui guest blogging, penulis akan mendapat 3 manfaat utama: pendedahan jenama, meningkatkan kepercayaan jenama & trafik berkualiti. Mari kita lihat setiap satu daripada kelebihan ini dengan lebih dekat.

#1 – Pendedahan Jenama Lebih Meluas

“…membina blog itu mudah. Mengekalkan blog itu sukar.”

Mungkin anda pernah mendengar ungkapan ini daripada para penulis blog yang berpengalaman. Apa yang mereka nyatakan ini adalah benar. Ini kerana, proses membangunkan sebuah blog semakin mudah dengan bantuan banyak sistem dan platform blogging yang tersedia hari ini.

Walaupun begitu, usaha mengembangkan jenama blog agar lebih dikenali umum itu memerlukan usaha yang keras. Melalui aktiviti guest blogging, anda secara mudah boleh mempromosikan blog anda di blog-blog berpengaruh. Secara tidak langsung, anda boleh menjimatkan bajet pemasaran melalui aktiviti ini.

#2 – Meningkatkan Kepercayaan Pembaca

Pembaca hari ini sudah semakin bijak membuat penilaian mereka sendiri. Mereka mahukan kandungan yang benar-benar berkualiti dan ditulis dengan modal-modal ilmu yang disokong dengan fakta yang sah.

Jadi, peluang untuk anda mempamerkan kepakaran sebenar anda melalui penulisan semakin mudah diterima oleh pembaca. Anda menulis di blog berpengaruh (sebagai penulis jemputan), anda bina kepercayaan dalam diri pembaca terhadap diri anda, jenama anda semakin terhormat.

#3 – Trafik Berkualiti

Salah satu cabaran sebuah blog untuk terus berjaya adalah mengekalkan rekod trafik yang tinggi berdasarkan matlamat dan target yang telah dirancang. Trafik ini pula terbahagi kepada dua; trafik berkualiti yang berpotensi menjadi pembaca setia atau pembeli ATAU trafik tidak berkualiti yang datang hanya untuk membaca dan tidak lebih daripada itu.

Melalui guest blogging, anda akan mula menerima trafik berkualiti. Yakni, pembaca yang serius mahu mengenali anda dengan lebih dekat, menggali semula hasil penulisan terdahulu daripada arkib blog anda dan hadam satu per satu di dalam minda mereka. Mereka ini akan mula mencintai jenama anda secara diam.

***

Kesimpulannya, aktiviti guest blogging mampu membawa kebaikan kepada para penulis dalam usaha untuk menjemput lebih ramai pembaca berkualiti dan meningkatkan imej jenama blog agar lebih mudah diterima oleh mereka sekaligus meningkatkan kredibiliti jenama secara senyap.

Kredit foto: Olivander.

The following two tabs change content below.

Zulhilmi Zainudin

Pereka grafik & pembangun laman web at Zulh Freelancer(tm)
Mempunyai kepakaran di dalam bidang rekaan grafik dan pembangunan laman web berasaskan sistem WordPress. Pengasas projek Bina Blog Dot Com Sendiri.

Label: , ,